AWAL minggu ini berbunga hati Merak Jalanan apabila membaca berita-berita yang mengangkat nama Malaysia gemilang di persada dunia.
Kisah ‘roti canai terbang’ yang laris di Expo 2025 Osaka dan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi puji jemaah haji Malaysia, buat Merak Jalanan bangga jadi rakyat negara ini.
Khabarnya, aksi penyediaan roti canai sehingga melambung ke udara, ditambah pula dengan aroma mentega yang memikat selera menyebabkan pengunjung tidak kisah beratur dua jam semata-mata untuk merasainya.
Menurut penebar roti canai, Muhammad Muiz Rozaini dan Mohamad Zul Imran Zulkifli, selepas makan, ramai yang datang semula dan berkata Oishi (enak).
Malah katanya, ada yang ulang makan sampai tujuh kali. Sedap betul tu! Dilaporkan kebanyakan pengunjung dari Jepun, Korea Selatan dan China.
Nun jauh di tanah suci pula, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sekali lagi menzahirkan penghargaan serta memuji tahap disiplin dan kebersihan diamalkan jemaah Malaysia di Masyair sebelum ini.
Penghargaan Dr Tawfiq Fawzan Muhammed Al-Rabiah itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Menurutnya, menteri berkenaan secara berseloroh berkata, kalaulah semua jemaah haji dunia macam Malaysia, beliau boleh tidur dengan tenang. Begitulah gambaran betapa selesanya kerajaan Arab Saudi terima kehadiran jemaah kita.
Berita-berita baik beginilah sewajarnya tular supaya dapat menyuntik semangat nasionalisme, selain menjadi pembakar semangat kepada rakyat pelbagai latar agama dan bangsa untuk mengharumkan nama negara.
Dalam dunia ini, hatta hanya dengan menebar roti canai atau tidak membuang sampah merata-rata, disiplin dan komitmen yang tinggi itu boleh mengangkat nama kita