Usah alpa ancaman Covid-19, HFMD

Iklan
Dalam keghairahan bercuti dan berhari raya, orang ramai tidak boleh alpa dengan kemunculan varian baharu Covid-19 dikenali sebagai NB.1.8.1 yang sedang merebak ke lebih 22 negara termasuk rantau Asia Tenggara.

HARI Raya Aidiladha yang bakal disambut hujung minggu ini pastinya lebih meriah kerana sambutannya serentak dengan musim cuti persekolahan.

Jadi, sudah tentu ramai ibu bapa mengambil peluang itu untuk bercuti lebih lama. Destinasi popular dalam negara seperti Cameron Highlands, Genting Highlands, Pulau Langkawi, Pulau Perhentian, Melaka dan Pulau Pinang menjadi tumpuan sejak cuti persekolahan penggal pertama bermula 29 Mei lalu.

Iklan
Iklan

Namun, dalam keghairahan bercuti dan berhari raya, orang ramai tidak boleh alpa dengan kemunculan varian baharu Covid-19 dikenali sebagai NB.1.8.1 yang sedang merebak ke lebih 22 negara termasuk rantau Asia Tenggara.

Varian tersebut berasal daripada keturunan Omicron JN.1 dan kini dikategorikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai ‘varian yang sedang dipantau’ susulan peningkatan penularan dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

Iklan

Gejala jangkitan varian NB.1.8.1 juga tidak banyak berbeza. Pesakit dilapor mengalami simptom demam, batuk, sakit tekak, keletihan, cirit-birit dan sesak nafas tetapi pakar menegaskan ia masih boleh menyebabkan kemasukan ke hospital dalam kalangan individu berisiko.

Dalam keadaan ramai sedang bercuti termasuk melancong ke luar negara dan pulang ke kampung halaman, risiko penyebaran Covid-19 boleh meningkat mendadak seandainya langkah pencegahan diabaikan.

Iklan

WHO percaya vaksinasi sedia ada masih memberi perlindungan terhadap varian tersebut, namun langkah kawalan dan kesedaran awam tetap penting bagi memastikan tidak berlaku gelombang baharu boleh menggugat kestabilan negara.

Malaysia mula mencatat kes Covid-19 pertama pada Januari 2020 sebelum merekodkan lonjakan kes sehingga terpaksa menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Lebih memburukkan keadaan, kemunculan varian Delta dan Omicron selepas itu menyebabkan sistem kesihatan hampir lumpuh seketika dengan kes direkodkan melebihi 30,000 sehari pada awal 2022, satu angka yang tidak dapat dilupakan rakyat Malaysia.

Detik-detik sukar yang dilalui negara ketika itu seharusnya menjadi iktibar kepada orang ramai untuk terus menjaga kesihatan kendiri, lebih-lebih lagi ketika ini masih berlaku kes jangkitan virus influenza, selain peningkatan penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Pada 27 Mei lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkifli Ahmad dilaporkan berkata, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini memantau hampir sepanjang masa susulan peningkatan kes penyakit HFMD serta Covid-19 di beberapa lokasi.

Menurutnya, beberapa prosedur sedia ada telah dilaksanakan dan KKM sentiasa berada dalam keadaan siap siaga serta waspada.

Katanya, fenomena kes berjangkit seperti HFMD dan Covid-19 adalah kompleks, disebabkan oleh pelbagai faktor (multifaktorial).

"Walaupun Covid-19 kini dianggap endemik seperti penyakit berjangkit lain, namun ia tetap boleh mengalami gelombang wabak secara berkala. Maka, penting untuk kita tidak leka, tidak terlalu selesa dan sentiasa mengekalkan pertimbangan yang wajar,” tegas Dr Dzulkifli.

Sebelum itu, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, Selangor mencatatkan 39,233 kes penyakit HFMD bagi Minggu Epidemiologi (ME) 19, berakhir pada 10 Mei.

Menurutnya, jumlah kes dikesan meningkat dengan ketara pada ME 15 hingga ME 19 iaitu selepas minggu pertama Aidilfitri dan antara faktor penyumbang kepada peningkatan kes adalah pergerakan orang ramai yang lebih aktif, aktiviti kunjung-mengunjungi, interaksi rapat antara kanak-kanak di kawasan tumpuan seperti rumah saudara-mara serta perkongsian makanan dan permainan.

Justeru, orang ramai perlu mengambil langkah pencegahan bagi memastikan kekal sihat dan tidak dijangkiti termasuk memakai pelitup muka di kawasan tumpuan ramai serta sentiasa mengawasi dan menjaga pergaulan anak-anak.

* Raiham Mohd Sanusi ialah Wartawan Sinar Harian