MALAYSIA sentiasa menarik perhatian pelancong dari negara Eropah, membuktikan negara ini mempunyai daya tarikan yang kuat, sama ada dari segi alam semula jadi, budaya pelbagai kaum mahupun hospitaliti yang terkenal.
Buktinya, platform pelancongan digital Agoda mengumumkan bahawa Malaysia mencatatkan peningkatan 20 peratus dalam carian berbanding tahun lalu oleh pelancong Eropah.
Pengarah Negara bagi Malaysia dan Brunei di Agoda, Fabian Teja berkata, Malaysia juga kekal sebagai destinasi Asia keempat dengan carian tertinggi oleh pelancong Eropah untuk tahun kedua berturut-turut menjelang cuti musim panas di negara itu.
Menurutnya, dapatan itu berdasarkan laporan Agoda, Trend Percutian Musim Panas Eropah ke Asia yang mengambil kira carian penginapan bagi percutian pada bulan Julai dan Ogos, iaitu bulan kemuncak cuti musim panas bagi pelancong Eropah.
Namun begitu, minat semata-mata tidak menjamin ketibaan mereka ke negara ini.
Apa yang dicari oleh pelancong masa kini ialah pengalaman yang lancar, selamat dan berbaloi, aspek-aspek ini perlu dititikberatkan.
Jika kita bijak bertindak, bukan sahaja angka pelancong meningkat, malah ekonomi tempatan juga akan mendapat suntikan yang sangat diperlukan.
Sektor pelancongan memerlukan pendekatan menyeluruh, bukan sekadar promosi, tetapi juga pembaikan dari segi infrastruktur, kebersihan, keselamatan, serta sistem e-dagang dan tempahan yang mesra pengguna antarabangsa.
Malaysia tidak boleh lagi bergantung pada kekuatan semula jadi dan keramahan rakyat semata-mata.
Dalam masa yang sama, cabaran juga tidak kecil apabila negara serantau seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia giat berinovasi dalam penawaran pelancongan mereka.
Menerusi Agoda, Thailand, Indonesia dan Jepun dilihat meraih kedudukan tiga teratas.
Manakala Vietnam pula muncul buat kali pertama di tempat kelima dalam senarai tersebut.
Oleh itu, Kementerian Pelancongan, pihak berkuasa tempatan dan pemain industri mesti berganding bahu.
Malaysia tidak boleh ketinggalan dari segi pendigitalan industri, latihan pemandu pelancong serta penjenamaan semula lokasi tumpuan yang sudah lama ‘lesu’.