Perdagangan AS-China: Trump kata Xi terlalu sukar untuk berurusan

Iklan
Donald Trump dan Xi Jinping

BEIJING - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi bayangan bahawa tiada perjanjian baharu akan dicapai dengan China berhubung pertikaian perdagangan antara kedua-dua negara dalam masa terdekat, lapor agensi berita Jerman dpa.

Dalam hantaran di platform Truth Social pada Rabu, Trump menulis:"Saya suka Presiden Xi [Jinping] dari China, sejak dulu hingga sekarang, tetapi beliau sangat tegas, dan terlalu sukar untuk berurusan!!!"

Iklan
Iklan

Pertikaian tarif antara dua ekonomi terbesar dunia itu telah ditangguhkan sejak satu perjanjian dicapai pada pertengahan Mei.

Perjanjian itu menetapkan pengurangan tarif Amerika Syarikat ke atas import dari China daripada 145 peratus kepada 30 peratus, manakala tarif China ke atas import dari AS diturunkan daripada 125 peratus kepada 10 peratus.

Iklan

Kenyataan bersama oleh kedua-dua negara menyatakan bahawa langkah tersebut adalah sementara dan akan berkuat kuasa selama 90 hari.

Namun, baru-baru ini kedua-dua pihak saling menuduh tidak mematuhi perjanjian tersebut.

Iklan

Amerika Syarikat dilaporkan menyekat penghantaran alat ganti turbin ke China dan cuba mengehadkan akses Beijing kepada teknologi cip penting, yang mencetuskan kemarahan China.

Selain itu, visa pelajar China di Amerika Syarikat turut dilaporkan akan dibatalkan.

China pula dituduh menyekat eksport mineral penting yang diperlukan dalam industri automotif, selain beberapa langkah lain.

Trump dan Xi dilaporkan dijadual mengadakan perbualan minggu ini. Namun, tidak jelas apa yang mencetuskan kenyataan terbaru Trump di media sosial. - Bernama-dpa