Cubaan anjur program LGBT, dua pemimpin PSM direkod keterangan

Iklan
PDRM mengambil keterangan dua individu daripada PSM berhubung penganjuran program berkaitan LGBT. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil keterangan dua individu daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) berhubung penganjuran program berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kedua-dua mereka dipanggil untuk dirakam percakapan petang tadi oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

Iklan
Iklan

"Keterangan itu bagi membantu siasatan kes berkaitan hantaran penganjuran perhimpunan Pride Care LGBT,” katanya pada Rabu.

Beliau berkata, pihaknya telah menerima 188 laporan polis dari seluruh negara sehingga jam 3 petang pada Rabu, berhubung cubaan penganjuran program LGBT tersebut.

Iklan

Menurut beliau, berdasarkan kenyataan rasmi daripada Pengerusi Parti Sosialis Malaysia bertarikh 31 Mei lalu, program itu telah ditangguhkan bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan peserta.

Sehubungan itu katanya, pihak polis masih menjalankan siasatan penuh untuk melengkapkan kertas siasatan.

Iklan

Beliau berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara apabila selesai dilengkapkan.

Terdahulu, polis memaklumkan akan memanggil penganjur program berkaitan LGBT oleh sayap pemuda sebuah parti politik di Petaling Jaya.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan siasatan dijalankan selepas pihaknya mengesan satu hantaran di media sosial berhubung perancangan program yang dipercayai akan diadakan pada 21 Jun ini di Petaling Jaya, Selangor.

Program itu disifatkan boleh mencetus kegusaran dan sensitiviti masyarakat, selain bertentangan dengan undang-undang negara yang tidak mengiktiraf sebarang bentuk amalan LGBT.