IPOH – Kerajaan Negeri Perak meluluskan sumbangan tambahan sebanyak RM5,000 kepada setiap waris mangsa nahas tragis membabitkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang meragut sembilan nyawa pada 13 Mei lalu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keputusan pemberian sumbangan itu dibuat melalui mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan akan disalurkan menerusi Yayasan Bina Upaya (YBU).
"Kita sudah buat keputusan seperti mana yang telah kita laksanakan sebelum ini kepada waris mangsa insiden helikopter terhempas di Pangkalan TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia).
"Kita beri RM5,000 kepada setiap keluarga mangsa melalui YBU,” katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri Perak 2030 dan Blueprint Bandar Pintar Negeri Perak 2040 di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya, di sini pada Rabu.
Turut hadir, Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi; Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng Shy Ching serta Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 pagi pada 13 Mei lalu, sebuah trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam menuju ke Ipoh selepas selesai menjalankan tugas sempena perayaan Chitrapournami di Teluk Intan bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu kerikil.
Lapan anggota maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan (HTI).