SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berterima kasih kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) kerana memberi penjelasan berkait dengan pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dr Mahathir berkata, penjelasan itu melepaskan beliau daripada tuduhan-tuduhan tidak mengikut proses yang betul di dalam mendapatkan pengampunan untuk Anwar sepertimana beberapa tindakan sebelum ini antaranya kes Pulau Batu Putih.
Menurut beliau, sejak pengampunan Anwar diumum pada Mei 2018, beberapa pengamal undang-undang, ada yang agak rapatnya dan yang tidak suka dengannya, telah mempertikai proses pengampunan tersebut.
"Seingat saya, ada seorang peguam telah memfailkan saman mencabar kesahihan pengampunan Anwar selepas sahaja saya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada bulan Februari 2020.
"Anwar ketika itu cuba membatalkan saman tersebut tetapi ditolak oleh Mahkamah Tinggi. Namun permohonannya dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan atas alasan plaintif tidak ada locus standi (hak).
"Mahkamah Persekutuan kemudiannya turut menolak rayuan plaintif kerana isu itu sudah menjadi akademik dan pengampunan dilakukan mengikut perlembagaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada Selasa, AGC menafikan dakwaan Tun Dr Mahathir bahawa pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak sah.
Jabatan berkenaan menegaskan bahawa suatu Mesyuarat Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-51 telah diadakan pada hari Rabu 16 Mei 2018, jam 11.00 pagi, di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Tambah Tun Dr Mahathir, walaupun keputusan telah dibuat, apabila timbul isu addendum di dalam titah Yang diPertuan Agong (YDPA) berkait dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan usahanya mendapatkan kelonggaran tahanan rumah, isu pengampunan Anwar timbul kembali.
Jelas beliau, penyokong Najib mempertikai kenapa titah YDPA tidak di turuti sedangkan apabilaAnwar mendapat pengampunan penuh yang dianggap luar biasa sebelum itu boleh dilaksanakan.
"Sekali lagi peranan saya di dalam proses pengampunan Datuk Seri Anwar dipertikai. Kini timbul pula isu Datuk Seri Anwar ingin mendapatkan"imuniti” (kekebalan) dari menghadapi saman sivil oleh bekas pembantunya di atas tuduhan serangan seksual.
"Bagi pengkritik Anwar, tindakannya untuk mendapatkan imuniti itu bertentangan dengan konsep keadilan Negara di mana tidak ada seorang pun yang mempunyai kekebalan dari menghadapi proses undang-undang apabila dituduh melakukan kesalahan," ujarnya.
Tambahnya lagi, tindakan meminta imuniti telah membuat beberapa pihak mengaitkan 'keistimewaan' yang dipohon Anwar itu sama seperti yang diterimanya ketika mendapat pengampunan penuh.
"Pihak AGC harus sedar semua pertikaian berkenaan Anwar saling berkaitan dan jika tidak ditangani akan menular menjadi penyakit yang terus menghakis kepercayaan orang ramai terhadap sistem keadilan Negara," katanya.