KUALA LUMPUR - Seorang pelakon dan penyanyi terkenal disiasat polis kerana disyaki melakukan perbuatan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor pada Selasa.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, mangsa dikatakan berkenalan dengan artis terbabit di sebuah kafe tempatnya bekerja.
Iklan
Iklan
"Mereka kemudian bertemu beberapa kali selepas perkenalan itu. Suspek kemudiannya membawa mangsa ke sebuah hotel.
"Ketika dalam pertemuan tersebut, suspek telah melakukan perbuatan amang seksual fizikal terhadap mangsa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Rabu.
Beliau memaklumkan bahawa suspek telah ditahan untuk membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
"Kertas siasatan sedang dilengkapkan dan kes disiasat di bawah Seksyen 14(a), Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792),” katanya.