SPRM beku hartanah, akaun Na’imah elak dilupuskan - Azam Baki

Iklan
Azam Baki.

PUTRAJAYA - Tindakan pembekuan tujuh hartanah dan satu akaun milik Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan keluarganya yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertujuan untuk mengelakkan aset berkenaan daripada dilupuskan.

Sinar Harian difahamkan, sitaan itu merupakan sebahagian daripada harta bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin bernilai RM2 bilion yang dikesan SPRM untuk dilucutkan kerana tidak diisytiharkan.

Iklan
Iklan

Aset yang disita itu melibatkan harta bernilai tinggi yang dikaitkan dengan lapan kertas siasatan terbaharu SPRM, baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tindakan itu merupakan sebahagian daripada langkah awal dalam siasatan kes berkenaan.

Iklan

"Dalam kes ini, kita telah memfailkan permohonan di mahkamah untuk mendapatkan restraining order (perintah sekatan) bagi tujuan pembekuan aset di luar negara.

"Kita juga akan meneruskan siasatan lanjut terhadap akaun-akaun yang telah disita kerana perlu membuat penyitaan bagi mengelakkan ia dilupuskan oleh pihak tertentu,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, sekiranya perintah sekatan itu tidak diperoleh, terdapat kemungkinan besar harta yang disyaki tidak diisytiharkan akan dilupuskan.

Pada Selasa, media melaporkan tiga kediaman mewah di London adalah antara tujuh hartanah dan satu akaun bank yang didakwa milik isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, yang telah dibekukan oleh SPRM dengan nilai keseluruhan berjumlah £132 juta (RM758.2 juta).

Hasil siasatan SPRM mendapati harta alih dan tidak alih tersebut merupakan perkara atau keterangan yang berhubung dengan dakwaan suatu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid, telah membenarkan permohonan SPRM yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, untuk membekukan kesemua harta berkenaan dalam prosiding secara sebelah pihak (ex-parte), pada Selasa.

Permohonan SPRM itu dibuat mengikut Seksyen 53 AMLATFPUAA 2001 bagi siasatan di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.