MELAKA - [DIKEMAS KINI] "Walaupun masih terkejut dengan kejadian menimpanya namun kami reda, arwah dah bersama anaknya yang menunggunya di syurga."
Demikian kata rakan baik kepada wanita yang maut akibat dikelar suaminya, Qilah, 34, ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka.
Qilah berkata, arwah yang mendirikan rumah tangga pada tahun 2023, pernah kehilangan anak sulung pada Februari tahun lalu kerana lahir tidak cukup bulan.
Menurutnya, arwah yang mesra dipanggil Iecah disifatkan sebagai seorang yang kaya dengan sifat pemurah dan suka membantu, bukan sahaja dalam kalangan rakan-rakan, malah juga orang susah termasuk individu yang ditemui di tepi jalan.
Katanya, dia masih terkejut dengan berita pemergian kerani timbang sawit itu yang begitu tragis, sedangkan di media sosial pasangan itu tidak menunjukkan sebarang tanda bermasalah.
"Arwah memang baik, suka membantu dari segi kewangan, tak kira siapa pun yang susah, dia akan tolong. Orang kampung pun tahu sikap baik arwah.
"Kali terakhir saya berhubung dengan arwah melalui aplikasi WhatsApp minggu lalu, sebab saya nampak statusnya mengenai jawatan kosong pemandu lori di tempat kerjanya. Rupanya, itu kali terakhir kami berhubung," katanya.
Tambahnya, sebelum Ramadan lalu mereka sempat berjumpa di rumah keluarga arwah yang mengadakan majlis kenduri, dan ketika itu arwah kelihatan ceria seperti biasa.
Ujarnya lagi, mereka sudah rapat sejak di Tingkatan Satu di sekolah yang sama iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Sri Lanang, Felda Sri Jaya Bukit Serampang, Jementah.
"Kami memang kawan baik. Sejak kenduri itu, saya teringin sangat nak jumpa arwah, tapi tak kesampaian. Tahu-tahu, dia dah tiada," katanya sebak.
Media pada Selasa melaporkan, suspek yang merupakan seorang penganggur telah ditahan selepas dipercayai mengelar leher isterinya sehingga maut di sebuah rumah di Taman Cahaya, Bukit Gambir, pada Isnin.
Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang Isnin dan suspek menyimpan mayat isterinya di rumah dengan menutupnya menggunakan selimut.
Suspek juga dipercayai cuba membakar rumah ibu mentuanya di Kebun Baru, Durian Chondong, di sini, pagi Selasa. Rumah tersebut terletak kira-kira 40 kilometer dari kediamannya.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Suspek yang berusia 33 tahun itu telah direman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Tangkak sehingga 10 Jun depan.