PETALING JAYA - Suami kepada Datuk Nora Ariffin, Dr Rushdi Ramli tidak hadir pada sebutan kedua kes penceraian melibatkan mereka di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, di sini pada Rabu.
Peguam yang mewakilinya, Azmi Mohd Rais berkata, ketidakhadiran anak guamnya adalah kerana terlibat dalam pembentangan kertas kerja bertajuk Kepentingan Ijmak dalam Mazhab Syafie dalam satu seminar di Brunei Darussalam.
"Kami telah cuba memohon agar sebutan kes itu diawalkan bagi membolehkan Dr Rushdi hadir, namun permohonan tersebut tidak dibenarkan oleh mahkamah.
"Jadi, pada hari ini pihak plaintif telah melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) beliau, manakala pihak kami juga telah melantik wakil JKP mewakili Dr Rushdi,” katanya selepas pelantikan JKP di mahkamah itu pada Rabu.
Terdahulu, Dr Rushdi melantik rakan keluarganya, Shamsul Omar sebagai wakil JKP, manakala Nora melantik kakak angkatnya, Rafeah Ariffin sebagai JKP yang akan mewakilinya untuk proses tersebut.
Ketika diminta mengulas mengenai pendirian Dr Rushdi terhadap perkahwinan tersebut, Azmi memaklumkan bahawa anak guamnya masih berpegang pada prinsip dan tetap menyayangi isterinya.
"Insya-ALLAH, masih ada ruang untuk berdamai,” tambah beliau.
Sementara itu, Nora atau nama penuhnya, Wan Norafizah Ariffin, 52, berkata, dia tahu tentang ketidakhadiran suaminya tersebut, malah sesi lantikan JKP itu dihadiri wakil kepada Dr Rushdi.
Terdahulu, pelantun lagu Di Persimpangan Dilema itu hadir kira-kira jam 8.50 pagi di mahkamah bagi sebutan kedua kes penceraiannya dengan Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh dan Usul di sebuah universiti di ibu negara.