SHAH ALAM - Isteri kepada Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid menyifatkan tindakan pembekuan asetnya di luar negara sebagai satu pencabulan dan mendakwa ia didorong oleh dendam politik.
Na’imah berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai tindakan tersebut dan hanya mengetahui perkara itu menerusi laporan akhbar bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengeluarkan perintah pembekuan ke atas asetnya di luar negara.
Menurutnya, tindakan itu merupakan satu pencabulan mengejut terhadap norma undang-undang yang paling asas.
"Ia langsung tidak boleh diterima bahawa perkara sebegini berlaku di Malaysia.
"Penyitaan harta oleh kerajaan tanpa sebarang notis kepada pemilik yang sah merupakan satu rujukan yang berbahaya," katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa memerintahkan aset luar negara milik Na’imah dan keluarganya bernilai £132 juta (RM758.2 juta) dibekukan.
Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa prosiding secara sebelah pihak atau ex-parte.
Dalam prosiding berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat memohon agar aset milik Na’imah dan keluarganya dibekukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Dalam pada itu, Na’imah mendakwa SPRM telah memperoleh perintah ex-parte itu secara rahsia dan suruhanjaya berkenaan memilih untuk berdiam di sebalik pintu tertutup, manakala beliau pula tidak diberi peluang untuk membela diri.
Jelasnya, beliau seharusnya dibenarkan untuk menyatakan pembelaan di mahkamah, namun hak tersebut dinafikan.
"Tiada yang munasabah akan mengatakan bahawa ini selaras dengan keadilan atau prinsip keadilan asasi. Mereka telah memperoleh perintah tersebut secara serang hendap.
"Malah, tiada peruntukan dalam undang-undang yang membenarkan permohonan ex-parte seperti ini dibuat dan kini mereka bersembunyi di sebalik ‘selimut’ undang-undang untuk menjustifikasikan sesuatu yang secara jelas merupakan satu bentuk pencurian oleh institusi kerajaan," katanya.