IPOH - Sebuah lori membawa 66 ekor babi hidup tanpa kebenaran ditahan dalam satu operasi bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di Lebuhraya Pantai Barat (WCE) berhampiran Lekir awal pagi tadi.
Pengarah JPV Negeri Perak, Dr Saifullizam Abd Kadir berkata, lori jenis tersebut ditahan kira-kira jam 3.20 pagi di Kilometer 195.5 lebuh raya berkenaan selepas diekori dari Plaza Tol Lekir.
"Lori ini dipercayai dari Pulau Pinang dan kita mengekori kenderaan ini pada jarak lebih kurang 10 km menerusi Operasi Pra MAREA (Agensi Regulatori dan Penguatkuasaan Agromakanan Malaysia) yang dilaksanakan ini.
"Pemeriksaan ke atas lori bertutup kanvas itu mendapati ia membawa 66 ekor babi hidup tanpa sebarang kebenaran daripada Pengarah JPV Negeri Perak,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Saifullizam berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM15,000 jika sabit kesalahan.
Katanya, nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM170,000 termasuk kenderaan yang digunakan dalam kegiatan tersebut.
Beliau berkata, operasi tersebut membuktikan komitmen berterusan agensi penguat kuasa dalam mengekang pemindahan ternakan tanpa kebenaran.
Jelasnya, tindakan itu juga bagi memastikan keselamatan biosekuriti negara sentiasa terpelihara.