SHAH ALAM - Kepimpinan Arab Saudi menjadikan keselamatan dan kebajikan jemaah sebagai keutamaan dengan menggerakkan sepenuhnya segala sumber serta keupayaan yang ada.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Haji, Leftenan Jeneral Mohammad Abdullah Al-Bassami berkata, perancangan menyeluruh dan penyelarasan antara agensi telah membawa kepada peningkatan ketara dalam pengurusan kawalan orang ramai serta kerjasama antara jabatan.
Iklan
Iklan
"Langkah-langkah ini bertujuan memastikan para jemaah dari seluruh dunia dapat menunaikan ibadah mereka di Makkah dan Madinah dengan penuh ketenangan, keselamatan dan tertib," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis tahunan anjuran Kementerian Dalam Negeri bagi menghargai sumbangan pasukan keselamatan yang bertugas semasa musim haji.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Dalam Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Haji Tertinggi, Putera Abdulaziz Saud.
Majlis berkenaan turut menampilkan perarakan ketenteraan serta demonstrasi taktikal oleh pelbagai agensi keselamatan termasuk simulasi senario kecemasan, pameran unit pemantauan udara, kenderaan khas dan peralatan canggih yang digunakan bagi memastikan keselamatan para jemaah sepanjang tempoh Haji.
Dalam pada itu, kerajaan Arab Saudi juga mengulangi komitmennya untuk memastikan musim haji tahun 2025 berlangsung dalam suasana aman dan damai dengan menggiatkan persiapan di semua peringkat yang terlibat dalam pengurusan ibadah itu.