RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas anak pokok durian jenis duri hitam (black thorn) dan monthong serta dua kenderaan dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM1.32 juta dalam dua rampasan berasingan semasa penugasan Op Taring Wawasan pada Isnin dan Selasa.
Turut dirampas sembilan pokok hiasan jenis cycas dan dua pemandu lori ditahan.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, rampasan pertama dilakukan di Jalan Kampung Kedap di sini pada jam 12.10 tengah malam selepas pihaknya menahan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 9,000 anak pokok durian black thorn dan sembilan pokok cycas ditemui di dalam lori tersebut yang disyaki diseludup masuk dari Thailand.
"Seorang pemandu lelaki berusia 26 tahun ditahan kerana dipercayai menjadi penghantar tanaman itu ke sebuah nurseri di Muar, Johor,” katanya kepada pemberita pada Rabu.
Menurut beliau, anggaran nilai rampasan termasuk lori tersebut adalah sekitar RM1.05 juta. Kes disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).
Suspek dan semua barang rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kota Bharu untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, bagi rampasan kedua, Nik Ros Azhan memaklumkan pihaknya menahan sebuah lagi lori dalam keadaan mencurigakan di Kampung Lubok Gong, di sini pada jam 6.12 petang.
"Hasil pemeriksaan menemukan 350 anak pokok durian monthong yang disyaki mengandungi serangga perosak dan penyakit.
"Turut ditahan seorang pemandu lelaki berusia 35 tahun yang dipercayai menjadi penghantar tanaman tersebut ke sebuah nurseri di Raub, Pahang,” katanya.
Tambah beliau, anggaran nilai rampasan termasuk lori bagi kes kedua ialah RM270,000. Kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).
Semua rampasan dan suspek diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan untuk tindakan lanjut.