DAHULU kalau sebut cikgu, terbayang wibawa. Baju kurung sopan, suara tegas, penuh ilmu. Tapi sekarang kalau sebut cikgu, lain pula yang muncul di fikiran. Bukan lagi kisah mendidik anak bangsa, tapi kisah skandal, cinta terlarang.
Sedihnya, anak didik terpaksa hadam kisah guru sendiri dari sudut yang memalukan. Sekolah yang selama ini jadi tempat menuntut ilmu, kini dibayangi skandal yang tular.
Bukan mahu mengaibkan kerjaya guru tapi kisah skandal seorang guru wanita berusia 31 tahun dan ‘abang wiring’ baru-baru ini harus jadi pengajaran.
Siapa sangka ‘kisah dalam kain’ dengan segala rakaman, gambar dan butir perbualan yang ‘menjijikkan’ boleh tersebar jadi tatapan umum.
Begitulah zaman sekarang, satu klik boleh rosakkan satu kerjaya. Satu rakaman boleh jatuhkan maruah satu institusi. Apa yang berlaku bukan lagi hal peribadi apabila ia sampai ke tangan netizen.
Cikgu bukan lagi dipandang sebagai pendidik tetapi menjadi bahan ketawa, bahan kutukan, bahan content. Tidak berakhir di alam siber, kisah skandal cikgu dan ‘abang wiring’ turut diheret ke mahkamah, didakwa atas pertuduhan cuba melakukan zina.
Walaupun mereka mengaku bersalah dan didenda RM5,000 setiap seorang atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut, namun ia tidak mampu mengembalikan maruah yang tercalar teruk.
Buat guru yang masih memegang amanah dengan jujur dan mulia, teruskan perjuangan. Jangan biar satu kes mencemarkan ribuan jasa. Ingatlah, anda bukan sekadar mengajar, anda sedang membentuk masa depan sebuah bangsa.
Buat semua, tak kira cikgu, ‘abang wiring’ atau siapa pun kita, jagalah batas. Hormati kerjaya, hargai maruah. Jangan gadai reputasi kerana nafsu.
Zaman sekarang bukan macam dahulu. Silap langkah, bukan seorang dua yang tahu tapi seluruh dunia pun tahu!