Rasuah lebuh raya: RM143 juta beli aset, arak dan judi

Iklan
Laporan Sinar Harian berkaitan rasuah lebuh raya.

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti jumlah sitaan melibatkan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuhraya di Lembah Klang yang dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuhraya bergelar Tan Sri dianggarkan bernilai kira-kira RM143 juta sepanjang operasi dijalankan sejak minggu lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sitaan itu melibatkan 14 akaun individu berjumlah RM4.5 juta; lapan akaun syarikat berjumlah RM33 juta, kondominium mewah dan sebidang tanah bernilai RM24.5 juta serta sembilan unit kereta berjumlah RM7.65 juta.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun beliau berkata, sebanyak 13 buah kereta masih belum diserahkan kepada pasukan siasatan SPRM.

Tambahnya, SPRM turut menyita jam tangan mewah bernilai kira-kira RM25 juta; tas tangan (RM3 juta); barang kemas serta berlian (RM6 juta); empat ekor kuda (RM400,000); minuman beralkohol (RM3 juta); aset luar negara yang dinilai lebih daripada RM15 juta serta ⁠aktiviti perjudian dianggarkan kira-kira RM20 juta.

Iklan

"Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku antara 2016 hingga 2020 di mana dana sukuk yang diluluskan berjumlah kira-kira RM1.35 bilion melibatkan penyelewengan tuntutan palsu yang bernilai kira-kira RM360 juta dan RM416 juta serta pinjaman fasiliti bank lain sebanyak RM50 juta.

"Projek lebuh raya yang bernilai RM1.67 bilion ini juga gagal disiapkan dalam tempoh yang telah ditetapkan.

Iklan

"Siasatan juga menumpukan isu rasuah bernilai RM12 juta yang dibayar kepada pihak tertentu sebagai balasan membantu membuat pengaliran wang keluar dan dikembalikan semula kepada suspek," katanya pada Selasa.

Azam berkata, hasil tuntutan dana yang diseleweng itu dipercayai turut digunakan dalam aktiviti penggubahan wang haram.

Katanya lagi, bagi menyeleweng dana-dana berkenaan, pihak-pihak terlibat dipercayai turut menggunakan golongan profesional seperti juruaudit, pakar kewangan, jurutera serta syarikat-syarikat yang bertindak sebagai penerima wang secara berlapis.

Sehingga kini, menurutnya, SPRM belum mengambil keterangan daripada Tan Sri terbabit kerana beliau masih berada di wad sebuah hospital swasta.

Pada hari ini, katanya, pegawai penyiasat akan mendapatkan pengesahan daripada doktor berkaitan status kesihatan Tan Sri sebelum dirakamkan keterangannya.

"Sementara itu, jumlah keterangan saksi sehingga hari ini (Selasa) masih kekal dengan 45 orang dan saksi-saksi yang telah diambil keterangan sebelum ini telah dipanggil semula untuk memberikan keterangan lanjut," ujarnya.

Dalam pada itu, Azam turut menjelaskan pasukan siasatan juga sedang mengesan kenderaan mewah serta hartanah milik Tan Sri itu di dalam serta luar negara termasuk di London dan Switzerland.

Selain itu kata beliau, siasatan kini turut tertumpu kepada nilai sebenar minuman alkohol mewah dalam simpanan Tan Sri dengan kemungkinan wang berkenaan telah dipindahkan ke akaun-akaun lain.

Pada masa yang sama, tegasnya, notis pengisytiharan harta juga telah diserahkan kepada Tan Sri dan pihak yang berkaitan.