SHAH ALAM - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dilaporkan sedang mempertimbangkan langkah menjual syarikat miliknya di Kanada yang dahulunya dikenali sebagai Progress Energy Resources Corp, dengan anggaran nilai mencecah antara AS$6 bilion hingga AS$7 bilion (sekitar RM27.6 bilion hingga RM32.2 bilion).
Menurut laporan Bloomberg yang memetik sumber terdekat, Petronas yang dikenali sebagai syarikat tenaga milik kerajaan Malaysia, sedang bekerjasama dengan seorang penasihat kewangan bagi menilai potensi penjualan syarikat berkenaan, termasuk kemungkinan melepaskan sebahagian pegangan minoriti sekiranya penilaian pasaran bersesuaian.
Petronas juga mungkin mempertimbangkan untuk menjual pegangan minoriti dalam perniagaan tersebut, bergantung kepada penilaian, tambah sumber.
Menurutnya, syarikat itu telah mula mendapatkan minat awal daripada pembeli berpotensi namun, perbincangan masih berjalan dan belum ada keputusan muktamad dibuat.
Wakil Petronas juga belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas perkara tersebut.
Petronas membeli Progress Energy pada tahun 2012 dengan nilai kira-kira AS$5.3 bilion (RM23.4 bilion), sekali gus meningkatkan aset gas syal dan bekalan gas syarikat berpangkalan di Kuala Lumpur itu.
Petronas juga memegang 25 peratus pegangan dalam projek LNG Canada, satu usaha sama gas asli cecair yang turut disertai oleh Shell plc, PetroChina Co Ltd, Mitsubishi Corp dan Korea Gas Corp.
Harga minyak yang rendah telah menjejaskan Petronas, yang melaporkan penurunan lebih 30 peratus dalam pendapatan bersih pada tahun 2024, serta mengumumkan langkah pengurangan pekerja yang akan bermula tahun ini.
Petronas Canada beroperasi di kawasan North Montney di timur laut British Columbia dan bersama rakan usaha sama, memiliki lebih daripada 800,000 ekar keluasan hak mineral dengan simpanan dan sumber berpotensi berjumlah 53 trilion kaki padu, menurut laman web syarikat itu.