Op Gasak kekang ketirisan subsidi

Iklan
Armizan ketika menyertai Ops Gasak 2025 baru-baru ini.

PERSPEKTIF

OPERASI Gas Memasak (Op Gasak) sedang berlangsung dari 1 Mei hingga 31 Oktober 2025 dengan fokus utama adalah untuk membanteras aktiviti haram decanting, penyeludupan dan penggunaan oleh industri berskala besar dan sederhana.

Punca kuasa perundangan kepada Op Gasak adalah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 iaitu PPKB (Pindaan) 2021.

Iklan
Iklan

Melalui operasi ini, tidak ada sebarang dasar dan peraturan baharu, apatah lagi pemotongan serta pemansuhan subsidi gas petroleum cecair (LPG) sebagaimana didakwa pihak tertentu.

Terdapat isu berbangkit bagi pelaksanaan dan penguatkuasaan PPKB (Pindaan) 2021 yang terkait dengan sektor perniagaan tertentu khususnya jualan makanan dan minuman. Atas sebab itu, dalam gerak kerja Op Gasak, pemeriksaan di premis-premis jualan makanan dan minuman adalah pada peringkat advokasi dan semakan. Tidak ada sebarang tindakan undang-undang diambil kepada perniagaan jualan makanan dan minuman.

Iklan

Sebaik tamat tempoh nanti, laporan Op Gasak akan dijadikan antara asas pertimbangan untuk mengkaji keperluan menyemak semula kesesuaian PPKB (Pindaan) 2021 berkaitan LPG.

Sebuah jawatankuasa teknikal telah ditubuhkan untuk melihat perkara ini sebaik bermulanya Op Gasak pada 1 Mei lalu yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Iklan

Selain laporan Op Gasak, syor dan pandangan daripada pelbagai pihak akan diambil kira sebelum pertimbangan dibawa kepada Jemaah Menteri.

Sebelum ini di bawah pentadbiran kerajaan lalu, pada tahun 2021, pindaan telah dibuat terhadap PPKB. Antara peruntukan pindaan adalah penetapan had sekatan kepada penggunaan dalam perdagangan atau perniagaan. Khusus berkaitan LPG, PPKB (Pindaan) 2021 telah memperuntukkan bahawa penggunaan melebihi 42 kilogram (kg) pada satu-satu masa memerlukan permohonan Permit Barang Kawalan Berjadual.

Ini bermaksud mana-mana pihak yang menggunakan lebih daripada 42kg (melebihi tiga tong bersaiz 14kg) perlu memohon permit dan tidak boleh menggunakan silinder LPG bersubsidi. PPKB (Pindaan) 2021 telah berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021.

Terdapat pandangan bahawa PPKB (Pindaan) 2021 tersebut membawa impak kepada kos perniagaan peniaga makanan dan minuman yang akhirnya disebutkan akan memberi kesan kepada harga jualan sekiranya mereka tidak dibenarkan menggunakan tong bersubsidi.

Asas kepada subsidi LPG adalah sebagai subsidi dapur rumah rakyat. Ia adalah subsidi kepenggunaan dan bukannya subsidi perdagangan dan komersial.

Bagaimanapun, peruntukan sedia ada membenarkan mana-mana pihak menggunakan maksimum 42kg pada satu-satu masa tanpa memerlukan permit.

Kehendak kumpulan peniaga jualan makanan dan minuman adalah mereka perlu menggunakan lebih daripada tiga tong LPG bersubsidi pada satu-satu masa. Sekiranya keperluan mereka ingin dipertimbangkan, pindaan perlu dibuat kepada PPKB (Pindaan) 2021 yang menetapkan had 42kg pada satu-satu masa.

Pelbagai pertimbangan

Pertimbangan juga perlu mengambil kira pelbagai faktor antaranya jumlah had tong bersubsidi untuk setiap perniagaan dan jenis serta skala perniagaan sama ada mikro, kecil, sederhana atau besar.

Begitu juga, jika harga makanan dan kos sara hidup rakyat dijadikan alasan, faktor harga makanan dan minuman yang dijual oleh perniagaan tersebut wajar diteliti. Sebagai contoh, ada peniaga menjual nasi ayam dengan harga RM8 sepinggan dan ada pula yang menjual sehingga melebihi RM20 sepinggan. Harga jauh berbeza sedangkan kesemuanya memanfaatkan subsidi rakyat yang sama.

Seperkara lagi amat penting untuk dipertimbangkan adalah implikasi kewangan diperlukan daripada peruntukan kerajaan yang merupakan dana awam dan duit rakyat.

Misalnya, pengiraan kasar jumlah subsidi LPG diberikan kepada perniagaan yang menggunakan lima tong gas memasak LPG sehari untuk sebulan adalah RM6,510 iaitu RM43.40 subsidi bagi setiap tong. Manakala, jumlah subsidi bagi perniagaan yang menggunakan 10 tong LPG sehari adalah sebanyak RM13,020 sebulan iaitu bagi keseluruhan 300 tong sebulan.

Pada masa yang sama, elemen kawalan dalam aspek mekanisme pemantauan termasuk keperluan permit barang kawalan berjadual juga amat penting untuk diambil kira. Ini kerana berdasarkan penguatkuasaan KPDN, terdapat risiko aktiviti haram decanting menggunakan sumber bekalan daripada penjualan kepada premis perniagaan apabila tidak wujudnya elemen rekod dan had penjualan sebagai asas semakan.

Decanting ialah aktiviti haram pemindahan LPG dari tong bersubsidi kepada tong tidak bersubsidi untuk jualan komersial di bawah harga pasaran termasuk untuk penyeludupan ke luar sempadan.

Semua pertimbangan ini dan syor serta pandangan pelbagai pihak akan diambil kira dalam menentukan keperluan untuk pindaan kepada PPKB (Pindaan) 2021 yang sedang berkuat kuasa.

Sekiranya pindaan adalah jawapan, perlu ditentukan bentuk parameter pindaan tersebut. Maka, laporan Op Gasak adalah penting sebagai asas hala tuju penambahbaikan kepada PPKB (Pindaan) 2021.

*Datuk Armizan Mohd Ali ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup