SHAH ALAM – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa tindakan penguatkuasaan lebih tegas serta pengharaman menyeluruh terhadap penggunaan rokok elektronik atau vape susulan pendedahan penjualan cecair dadah jenis magic mushroom serendah RM1 setitik dalam kalangan pelajar sekolah.
Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pendedahan tersebut amat membimbangkan kerana jelas menyasarkan kanak-kanak dan remaja sebagai mangsa utama.
"Ia bukan sahaja mencemarkan akhlak dan pemikiran generasi muda, malah mengundang risiko ketagihan dadah seawal usia belasan tahun yang boleh membawa kepada implikasi jenayah lain serta merosakkan potensi kepimpinan masa depan negara,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa hanya dengan harga serendah RM1, setitik cecair vape yang mengandungi dadah sintetik jenis magic mushroom dijual secara haram dalam kalangan pelajar sekolah.
Pendedahan itu dibuat oleh seorang remaja bawah umur yang mengakui mula terjebak dengan ketagihan bahan terlarang tersebut sejak berusia 14 tahun.
Remaja terbabit yang mahu dikenali sebagai Zul (bukan nama sebenar), 17, mendedahkan bahawa beliau mula menghisap vape seawal usia 13 tahun sebelum terjerumus kepada ketagihan bahan psikoaktif magic mushroom setahun kemudian akibat rasa ingin tahu.
Tambah Ahmad Fahmi, ABIM mencadangkan agar kerajaan meminda Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun untuk menyenaraikan serta mewartakan bahan psikoaktif baharu sebagai dadah berbahaya dan racun berjadual.
"Dengan adanya peruntukan undang-undang khusus, sebarang usaha penguatkuasaan termasuk pengharaman penyebaran bahan-bahan yang merangsang kepada penagihan vape dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.
"Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) wajar diberi kuasa pantas untuk mengambil tindakan terhadap sebarang bahan meragukan dalam pasaran,” jelasnya.
Menurut Ahmad Fahmi, ABIM turut menekankan kepentingan pelaksanaan program pendidikan dan kesedaran yang komprehensif dalam sistem pendidikan nasional, termasuk elemen nilai agama, moral dan sokongan psikososial bagi membina ketahanan dalaman pelajar terhadap pengaruh negatif.
Jelas beliau, fenomena vape berbahaya bukan sekadar isu peringkat sekolah, malah merupakan krisis sosial nasional yang memerlukan tindakan kolektif pelbagai pihak untuk dibendung.