SEPANG - Presiden Guinea-Bissau, Umaro Sissoco Embaló tiba di Malaysia pada Selasa untuk lawatan rasmi selama tiga hari.
Pesawat yang membawa Embaló mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 3 petang.
Sejurus tiba, beliau memeriksa kawalan kehormat yang terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat).
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga merupakan menteri pengiring bagi lawatan tersebut menyambut ketibaan Embaló.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa kunjungan ini merupakan lawatan pertama Embaló ke Malaysia sejak beliau dilantik sebagai Presiden pada Februari 2020.
Presiden Embaló dijadual diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, esok, diikuti dengan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perbincangan akan tertumpu kepada pengukuhan hubungan dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian, pendidikan serta pembangunan kapasiti. Kedua-dua pihak juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Anwar turut akan meraikan Embaló dan delegasi yang terdiri daripada Menteri Perancangan Ekonomi dan Integrasi Serantau Guinea-Bissau, Soares Sambú serta pegawai kanan Kabinet Presiden, dalam satu jamuan makan tengah hari di Kompleks Seri Perdana.
Malaysia dan Guinea-Bissau menjalinkan hubungan diplomatik sejak November 1974.
Hubungan kedua-dua negara kekal erat, berteraskan komitmen bersama terhadap kerjasama di peringkat dua hala dan pelbagai hala, termasuk di platform Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).
Pada tahun 2024, jumlah dagangan Malaysia dengan Guinea-Bissau mencecah RM4.1 juta, dengan eksport Malaysia bernilai RM4.04 juta dan import sebanyak RM0.06 juta. - Bernama