Lelaki warga India dijel enam tahun, tiga sebatan kes amang seksual kanak-kanak

Iklan
Seorang lelaki warga India dihukum penjara enam tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.

MELAKA - Seorang lelaki warga India dihukum penjara enam tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang merupakan anak teman wanitanya, dua tahun lalu.

Hakim, Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap S Sakthivel, 30, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada prosiding sebutan semula kes.

Iklan
Iklan

Beliau memerintahkan hukuman terbabit bermula daripada tarikh tangkap dan tertuduh juga dikhendaki menjalani kaunseling sepanjang menjalani hukuman itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun sewaktu kejadian di sebuah pangsapuri di Taman Kenanga Seksyen 3, dekat sini, pada 24 November 2023, kira-kira jam 10.30 malam.

Iklan

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2027.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Iklan

Mengikut fakta kes, pengadu adalah ibu tunggal kepada tiga anak termasuk mangsa dan merupakan teman wanita tertuduh.

Pada tarikh kejadian pengadu bersama anak-anaknya dan tertuduh pergi bersiar-siar di Pantai Klebang.

Sekembalinya di rumah pengadu kira-kira jam 9 malam, tertuduh memberitahu dia ingin bermalam di situ sebelum melakukan amang seksual fizikal terhadap anak pengadu di ruang tamu rumah ketika teman wanitanya itu tidur di bilik.

Suspek turut mengugut mangsa supaya merahsiakan perkara itu sebelum dia ditangkap pada 4 Disember 2023 susulan laporan dibuat pengadu di Balai Polis Tengkera.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin berhujah supaya hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh sebagai pengajaran dengan mengambil kira fakta kes.

Peguam, K Shareveen merayu hukuman ringan atas alasan tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan tersebut.

"Tertuduh bekerja sebagai penjaga stor dari 2017 hingga ditangkap pada 4 Disember 2023 dan sudah berada dalam tahanan selama setahun tujuh bulan.

"Dia hanya ingin pulang ke negara asal untuk hidup bersama keluarganya selain perlu menanggung dua adik perempuan di India," katanya.