KOTA BHARU – Penjualan pil kuda pada harga serendah RM5 hingga RM6 sebiji di pasaran gelap ketika ini dipercayai berpunca daripada kekurangan bekalan baharu susulan penutupan laluan haram di sempadan Malaysia-Thailand.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, tindakan menyekat laluan keluar masuk secara haram sejak Disember tahun lalu menyebabkan sindiket pengedaran dadah mula terdesak hingga terpaksa menjual stok lama yang kurang berkualiti.
"Hasil pemantauan dan kajian kami, banyak pil kuda yang beredar sekarang ialah stok lama. Apabila sukar mendapatkan bekalan baharu, sindiket terpaksa melepaskan stok-stok sedia ada.
"Sebab itu sekarang harga pil kuda ada yang dijual RM5 atau RM6 sebiji. Namun kesannya tidak sama kerana kualiti rendah, pil kuda yang sudah lama atau tamat tempoh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Cakna Remaja: Elak Gejala Sosial, Bina Masa Depan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata, langkah menutup pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bukan sahaja memberi kesan besar kepada rantaian bekalan dadah, malah turut disambut baik oleh pihak berkuasa Thailand sendiri.
"Negara jiran kita menyokong usaha ini kerana kemasukan dadah bukan hanya memberi kesan di Kelantan, tetapi turut melibatkan kawasan sempadan mereka.
Menurut beliau, penutupan sempadan sejak Disember lalu telah berjaya menurunkan nilai rampasan dadah di Kelantan sehingga 65 peratus dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Tambahnya, kajian mendapati hampir semua jenayah berat di negeri ini termasuk rompakan, samun dan cabul berpunca daripada penyalahgunaan dadah.
"Sindiket kini cuba menggunakan laluan lain termasuk melalui Perlis, tetapi kita akan terus memperketatkan kawalan dan menjejaki taktik mereka,” katanya.