Polis Pahang tingkat keselamatan sepanjang AIPACODD

Iklan
Yahaya menyempurnakan pemakaian pangkat pegawai polis pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Logistik dan Teknologi Pahang di IPK Pahang, Kuantan pada Selasa.

KUANTAN – Polis Pahang mempertingkatkan tahap keselamatan bagi memastikan kelancaran ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) Advisory Council On Dangerous Drugs (AIPACODD) 2025 yang akan berlangsung pada 9 hingga 12 Jun ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, setakat ini persediaan rapi telah dijalankan melibatkan aspek keselamatan dan kawalan lalu lintas di lokasi utama persidangan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagi tujuan tersebut pasukan keselamatan sudah bersiap sedia dan telah digerakkan sepenuhnya.

"Kita akan pastikan keselamatan pada tahap tinggi di kawasan persidangan utama iaitu di sebuah hotel dan beberapa lokasi lawatan lain seperti di Pekan dan Menara 188, di sini.

Iklan

"Malah, kita akan menggunakan sepenuhnya anggota dalaman Kontinjen Pahang dan sekiranya ada keperluan tambahan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Logistik dan Teknologi Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Selasa.

Iklan

Yahaya memberitahu, penyelarasan akhir AIPACODD akan diadakan esok dan ia dipengerusikan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.

"Bagi pihak polis kita bersiap sedia memastikan kelancaran majlis," katanya.

Menyentuh mengenai penutupan jalan sepanjang AIPACOD Yahaya berkata, langkah tersebut hanya akan diambil dengan melihat keadaan tertentu.

Jelasnya, sekiranya ada keperluan, penutupan jalan secara minimum akan dilakukan.

"Sebagai contoh, jika program berlangsung di Menara Kuantan 188, penutupan jalan hanya dibuat secara berkala bagi memastikan kelancaran lalu lintas.

"Jadi,kita harap persidangan ini dapat berjalan lancar tanpa sebarang halangan,” katanya.