Tak mudah hukum ibu bapa cuai, perlu kawal akses kanak-kanak

Iklan
Ibu bapa perlu menyampaikan maklumat kepada kanak-kanak tentang bahaya penggunaan internet secara berlebihan. Gambar kecil: Noor Aziah

SHAH ALAM - Terdapat keperluan untuk meminda undang-undang agar lebih relevan dengan situasi semasa termasuk mengawal selia akses kanak-kanak bawah umur daripada menjalankan aktiviti atas talian seperti Facebook dan Instagram berdasarkan umur yang bersesuaian.

Profesor Undang-Undang Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, jika pengawasan tidak dilakukan secara serius, kanak-kanak boleh terdedah kepada bahaya media sosial termasuk menghantar gambar tidak senonoh serta menjadi mangsa ugutan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun menurutnya, pemantauan terhadap aktiviti dalam talian bukan hanya tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk melindungi anak-anak mereka daripada ancaman siber.

"Sekarang boleh dikatakan semua rumah ada internet, sambung sahaja ke rangkaian sudah boleh akses jadi agak sukar mahu mengawal penggunaan internet pada umur tertentu.

Iklan

"Bagi saya menghukum ibu bapa yang cuai atau abai tanggungjawab memantau juga bukan perkara mudah. Oleh sebab itu, pendidikan kepada ibu bapa sangat penting dalam masa sama perlu sampaikan maklumat kepada kanak-kanak juga.

"Seterusnya baru kita buat beberapa perundangan yang boleh kawal individu bawah umur daripada menjalankan aktiviti atas talian supaya risiko dieksploitasi dapat dikurangkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Tambah Noor Aziah, ia berbeza dengan penderaan fizikal yang sudah wujud dalam Akta Kanak-Kanak 2001 bagi kesalahan tersebut.

"Ini bukan melibatkan pengabaian kanak-kanak seperti tidak bagi makan dan minum serta biar anak terdedah bahaya tetapi lebih kepada menjaga keselamatan mereka dalam talian.

"Oleh itu, bagi saya lebih baik mencegah sebelum ia berlaku. Biasanya orang yang eksploitasi kanak-kanak ini akan mengugut ibu bapa dan ini juga menjejaskan emosi kanak-kanak sehingga menjadi trauma kepada mereka,” ujarnya.