Mangsa insiden Putra Heights harap tempoh bantuan dilanjutkan

Iklan
Keadaan kediaman penduduk dan kenderaan yang musnah dalam insiden kebakaran saluran gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights baru-baru ini. Foto fail Bernama

PETALING JAYA – Mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights berharap bantuan sementara seperti bayaran sewa rumah, kenderaan dan motosikal yang diterima daripada pelbagai pihak dapat disambung selepas tempoh bantuan berkenaan tamat baru-baru ini.

Selepas dua bulan berlalu sejak insiden tragik pada 1 April lalu, sebahagian mangsa kini berdepan cabaran meneruskan kehidupan apabila terpaksa memulangkan bantuan yang sebelum ini banyak membantu mereka.

Iklan
Iklan

Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru, Mohamad Nasir Ab Hamid, 69, berkata, rumahnya mengalami kerosakan menyeluruh dengan anggaran kos baik pulih mencecah RM150,000, namun kerja-kerja pembaikan masih belum dimulakan.

"Buat masa ini, kami tinggal di sebuah rumah kecil berdekatan rumah asal dengan bantuan bayaran sewa selama tiga bulan.

Iklan

"Kereta sementara yang saya terima juga sudah dipulangkan bulan lepas selepas tamat tempoh pinjaman. Sekarang, saya guna kereta Kancil yang saya baik pulih sendiri untuk urusan harian,” katanya kepada Bernama.

Mohamad Nasir, bapa kepada sembilan anak, berkata, keluarganya cuba menyesuaikan diri dengan keadaan sementara menunggu kerja baik pulih rumah dimulakan.

Iklan

"Saya nak lihat dulu macam mana proses baik pulih dijalankan. Setakat ini belum ada maklumat lanjut daripada pihak kontraktor,” ujarnya.

Isterinya, Aliyah Ismail, 55, pula berkata, mereka bersyukur dengan bantuan yang telah diberikan namun berharap kerajaan atau pihak berkaitan turut mempertimbangkan pemberian pampasan tunai kepada mangsa yang kehilangan tempat tinggal dan mata pencarian.

"Setakat ini hanya bantuan baik pulih rumah sahaja yang dimaklumkan. Kami belum dengar apa-apa mengenai pampasan tunai.

"Saya nak mulakan semula perniagaan katering, tetapi semua barang dan peralatan hangus dalam kebakaran. Sewa rumah pun tinggi, kos barang pula mahal,” katanya.

Kebakaran paip gas berkenaan berlaku pada 1 April lalu, dengan api menjulang setinggi lebih 30 meter dan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya hampir lapan jam kemudian.

Kejadian itu menyebabkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 rumah separa musnah, 57 terjejas tanpa kebakaran, manakala 218 rumah dilaporkan tidak terkesan.