Warisan desak kerajaan negeri perjelas kegagalan amaran tumpahan bahan toksik

Iklan
Dakwaan berlaku tumpahan bahan toksik melibatkan sodium sianida di kawasan lombong emas di Bukit Mantri, Tawau. Gambar kecil: Sarifuddin

KOTA KINABALU – Parti Warisan (Warisan) menggesa kerajaan negeri untuk memberi penjelasan berhubung kegagalan mengeluarkan sebarang amaran segera kepada penduduk sekitar, susulan tularnya satu video yang mendakwa berlaku tumpahan bahan toksik melibatkan sodium sianida di kawasan lombong emas di Bukit Mantri, Tawau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Sarifuddin Hata berkata, kegagalan sistem amaran awal dan langkah keselamatan awam itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Iklan
Iklan

"Video yang kini tersebar luas menunjukkan tebing kolam takungan sudah runtuh dan mengakibatkan air sisa yang dipercayai mengandungi bahan beracun mengalir ke kawasan sekeliling.

"Pekerja serta komuniti yang tinggal berhampiran tidak dimaklumkan secara rasmi tentang pencemaran tersebut walaupun ia membawa risiko kesihatan yang serius," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Susulan itu, Sarifuddin yang juga Ketua Bahagian Warisan Kalabakan mempersoalkan keberadaan protokol kecemasan yang sepatutnya diamalkan demi keselamatan dan kesihatan orang awam.

"Di mana protokol kecemasan? Mengapa tiada amaran dikeluarkan kepada keluarga supaya tidak menggunakan air sungai untuk diminum atau mandi?

Iklan

"Ini bukan sekadar kegagalan dari segi peraturan tetapi satu pengabaian nyawa manusia," tegasnya.

Sehubungan itu, Sarifuddin menggesa kerajaan negeri menghentikan serta-merta semua operasi perlombongan emas di tapak tersebut.

"Ia perlu dihentikan segera sehingga Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang baharu dikeluarkan dan mendedahkan senarai penuh bahan toksik yang terlibat dalam operasi tersebut," katanya.

Beliau turut menggesa pelaksanaan protokol keselamatan kecemasan bagi memberi amaran dan melindungi penduduk berhampiran.

"Kejadian alam sekitar sememangnya boleh berlaku tetapi dengan berdiam diri dan gagal bertindak dalam menghadapi pencemaran toksik adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan.

"Kesihatan rakyat kita lebih berharga daripada emas," tegasnya.