Polis Perlis rampas syabu, ganja bernilai lebih RM13 juta

Iklan
Muhammad menunjukkan bungkusan dadah jenis syabu seberat 365 kilogram yang dirampas ketika sidang akhbar pada Isnin.

KANGAR – Polis Perlis berjaya menumpaskan dua kes pengedaran dadah melibatkan rampasan syabu dan ganja bernilai keseluruhan RM13.15 juta dalam dua serbuan berasingan pada Ahad.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, rampasan terbesar melibatkan dadah jenis syabu seberat 365 kilogram yang dianggarkan bernilai RM13.14 juta hasil serbuan di Kampung Belat Batu, Beseri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam serbuan itu, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun telah ditahan bersama 17 guni berisi dadah disyaki jenis syabu yang disorokkan dalam sebuah kenderaan jenis Proton Waja.

"Serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis itu dilakukan kira-kira jam 4.00 petang Ahad.

Iklan

"Modus operandi suspek dipercayai menggunakan kawasan hutan di sekitar daerah Padang Besar sebagai lokasi transit sebelum bekalan dibawa ke selatan tanah air,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Isnin.

Muhammad berkata, jumlah syabu yang dirampas itu mampu menampung keperluan seramai 3.6 juta penagih dadah.

Iklan

"Hasil saringan awal mendapati suspek positif methamphetamine dan mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah,” ujarnya.

Beliau berkata, suspek kini direman selama tujuh hari bermula Ahad bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambahnya, tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 turut diambil apabila aset suspek berupa sebuah kereta Proton Waja bernilai RM15,000 telah disita.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai melarikan diri semasa serbuan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad berkata, dalam serbuan berasingan pada hari sama, seorang lelaki warga Thailand berusia 30 tahun telah diberkas bersama dua kilogram ganja mampat di Taman Singgah Sana, Padang Besar.

"Bertindak atas maklumat awam, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Padang Besar menahan suspek dan menemui dua bungkusan ketulan ganja yang disorokkan dalam tong sampah,” jelasnya.

Menurutnya, dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM6,200 dan mampu digunakan oleh kira-kira 20,000 penagih.

"Hasil saringan awal mendapati suspek turut positif methamphetamine dan direman selama tujuh hari bermula Ahad bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, sebuah motosikal jenis Honda Vario milik suspek bernilai RM6,000 turut disita.