Perhilitan sahkan jangkitan ASF pada bangkai babi hutan di Ampang

Iklan
Perhilitan Selangor melaksanakan pemeriksaan bangkai babi hutan yang ditemui di Ampang dan memantau kawasan sekitar penemuan bangkai terbabit.

AMPANG – Enam ekor bangkai babi hutan yang ditemui di Jalan Tebrau 1 dan Dataran Ukay, di sini antara 28 April hingga 15 Mei lalu disahkan positif jangkitan demam babi Afrika atau African Swine Fever (ASF).

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, pihaknya telah menerima enam aduan mengenai penemuan bangkai babi hutan terbabit dan siasatan awal telah dijalankan di lokasi penemuannya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sampel bangkai kemudiannya dihantar ke Bahagian Konservasi Ex-Situ, Ibu Pejabat Perhilitan untuk analisis dalaman, sebelum dirujuk kepada Makmal Veterinar Zon Tengah (MVZT), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) bagi tujuan ujian pengesahan penyakit.

"Pada 20 Mei, Jabatan Perhilitan telah menerima laporan rasmi daripada DVS yang mengambil maklum bahawa sampel yang dianalisis adalah positif bagi jangkitan penyakit ASF melalui kaedah ujian qPCR.

Iklan

"ASF ialah penyakit virus berjangkit yang hanya menjejaskan babi hutan dan babi domestik. Ia tidak menjangkiti manusia atau haiwan lain dan tidak memberi risiko kesihatan awam," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, bagi memastikan pengurusan kes ini dikawal secara menyeluruh, Perhilitan terus bekerjasama rapat dengan DVS, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan untuk pemantauan, pelupusan bangkai dan penyahjangkitan kawasan mengikut prosedur biosekuriti sedia ada.

Iklan

Tambahnya, tindakan juga diambil dengan mengumpul dan menganalisis mana-mana bangkai baharu yang dijumpai di lokasi berhampiran.

"Kita juga menjalankan pemantauan kesihatan populasi hidupan liar di kawasan yang berisiko, selain meningkatkan survelan dan kesiapsiagaan terhadap kemungkinan penularan kes serupa di kawasan lain," ujarnya.

Menurut Wan Mohd Adib, pihaknya menasihatkan orang awam agar tidak menyentuh, mengalih atau menghampiri mana-mana bangkai haiwan liar yang ditemui, khususnya spesies babi hutan.

"Segera laporkan sebarang penemuan bangkai haiwan liar kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut dan usah menyebarkan maklumat yang tidak sahih berkaitan isu ini agar tidak menimbulkan kegusaran awam," katanya.

Beliau berkata, sebarang aduan, penemuan atau maklumat berkaitan hidupan liar boleh disalurkan melalui Talian Hotline Perhilitan di talian 1-800-88-5151.