KUALA TERENGGANU - Polis telah membuka 12 kertas siasatan berhubung kes penipuan cabutan bertuah menggunakan capaian pautan berkaitan skim simpanan milik sebuah bank.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, setakat ini sebanyak 12 laporan polis telah diterima melibatkan 12 mangsa, dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM259,103.57.
"Kita telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi setiap kes kerana menipu,” katanya di sini pada Isnin.
Beliau berkata, laporan terbaharu diterima melibatkan seorang guru wanita berusia 52 tahun yang kerugian sebanyak RM5,499 selepas menekan pautan cabutan bertuah palsu yang diterima melalui laman sosial Facebook.
Katanya, mangsa menyedari wang dalam dua akaun bank miliknya telah dikeluarkan tanpa kebenaran ketika membuat semakan di sebuah bank di Dataran Austin pada Ahad lalu.
"Siasatan mendapati mangsa terpedaya dengan pautan ‘phishing’ yang menyamar sebagai laman rasmi cabutan, lalu memasukkan maklumat perbankan peribadi sebelum akaunnya diceroboh.
"Mangsa kehilangan wang berjumlah RM5,499 daripada dua akaun bank miliknya ketika membuat semakan di sebuah bank di Dataran Austin, Kuala Nerus kira-kira jam 9.30 pagi, semalam,” katanya.
Selain itu, katanya, satu lagi laporan polis turut diterima daripada seorang peniaga berusia 52 tahun yang mendakwa menjadi mangsa penipuan yang sama.
"Mangsa telah menekan pautan cabutan bertuah melalui Facebook dan meneruskan urusan lanjut.
"Beberapa minit kemudian, pengadu menerima notifikasi daripada pihak bank bahawa terdapat pengeluaran wang daripada tiga akaun bank miliknya berjumlah keseluruhan RM14,110 tanpa pengetahuannya dan tanpa kebenaran,” ujar beliau.
Sehubungan itu, Azli menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai mesej atau pautan cabutan bertuah di media sosial yang meragukan.
"Orang awam digesa menyemak kesahihan maklumat terus dengan institusi kewangan dan tidak sewenang-wenangnya memberikan maklumat perbankan,” katanya lagi.
Beliau berkata, sebarang maklumat berkaitan sindiket penipuan ini boleh disalurkan kepada balai polis berhampiran atau melalui talian CCID Scam Response Center di 03-26101559 atau 03-26101599.