KUALA NERUS - Seorang nelayan tidak menyangka umpan ikan kerisi hidup yang dipasang pada mata kail mengena seekor ikan layaran seberat hampir 12 kilogram.
Mohd Zainuri Ismail, 43, berkata, umpan yang dipasang mengena ikan tersebut sekitar jam 12 tengah hari ketika beliau turun ke laut bersama rakannya di perairan Terengganu, minggu lalu.
"Waktu itu saya nak cari ikan biasa seperti ebek atau tenggiri, tapi tak sangka pula umpan ikan kerisi hidup yang digunakan mengena ikan layaran, sekali gus menjadi pengalaman luar biasa.
"Ikan ini memang ganas, berpusing-pusing keliling bot sampai tali pancing terbelit pada joran, enjin dan juga bahagian bot.
"Saya ambil masa hampir 20 minit juga bertarung sebelum ia berjaya dijinakkan dan mata kail dibuka,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.
Menurutnya, ini merupakan pengalaman pertama melihat sendiri ikan spesies itu sepanjang dua tahun menjadi nelayan.
"Biasanya saya dapat haruan tasik atau tenggiri, tapi yang ini memang luar biasa besar. Panjang ikan ini pula lebih kurang sama tinggi dengan saya,” katanya.
Tambahnya, pada hari yang sama, seorang lagi rakannya yang menaiki bot berasingan turut menaikkan seekor ikan pari seberat 12 kilogram.
Mohd Zainuri berkata, tangkapan seperti ikan kerisi, sotong mabam dan ikan ebek agak sukar diperoleh, manakala sotong jarum hanya mudah didapati pada waktu malam.