KUANTAN - Seorang pekerja kedai barangan elektrik maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta yang terbabas dipandu seorang pegawai tentera wanita dalam kejadian di Kilometer 195.2 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah barat di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang itu, mangsa dikenali sebagai Zakuan Lateh, 49, yang beralamat di Kampung Dato’ Mufti Suib, Ampang, Selangor, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu kereta terbabit, seorang pegawai tentera berpangkat kapten berusia 28 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika wanita berkenaan memandu kereta jenis Honda City dari arah Kuantan menghala ke Mentakab.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di sebelah kiri, lalu merempuh motosikal jenis Yamaha Y15 yang ditunggang mangsa di lorong tersebut.
"Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Wan Mohd Zahari berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.