MERAK Jalanan tengok dalam seminggu ini kecoh di media sosial kisah cikgu terlampau dengan suami orang digelar abang CCTV & Wiring - dua gelaran ini diberikan netizen terutamanya golongan wanita yang sakit hati dengan kisah selingkuh dua pasangan bukan muhrim ini.
Maka berbondong-bondonglah komen netizen pada kisah yang didedahkan si isteri kepada abang CCTV & Wiring. Lagi teruk bila video cikgu itu diterjah dan ditularkan.
Kisah ini bukan sekadar menjadi bualan hangat golongan hawa secara online mahupun offline malah Kementerian Pendidikan Malaysia turut terkena tempiasnya sehinggakan menteri bertanggungjawab terpaksa mengeluarkan kenyataan yang memaklumkan cikgu itu direhatkan sementara siasatan dalaman dijalankan memandangkan kes itu melibatkan isu integriti, kelakuan dan akhlak guru berkenaan.
Pada Merak Jalanan, kita tutuplah kisah dua individu itu kerana masing-masing sudah didenda RM5,000 selepas mengaku salah cuba lakukan zina. Bagi mereka peluang untuk menginsafi keterlanjuran masing-masing.
Cuma di sini Merak Jalanan simpati dengan cikgu itu kerana boleh dikatakan sudah jatuh ditimpa tangga. Ini kerana ada video aib dikatakan milik cikgu itu mula tersebar. Video itu tidak mempunyai kaitan dengan abang CCTV & Wiring.
Kali ini golongan lelaki pula mengambil tempat. Masing-masing kata mana nak tengok, mana boleh dapat? Anda boleh lihat sendiri komen-komen ini baik di Facebook, Instagram mahupun X.
Bulan baik sempena Zulhijah ini adalah lebih mulia jika kita mencari keberkatan erti berkorban, bukannya menjadi hamba mata, hawa dan nafsu mahu melihat video mengaibkan itu. Cukuplah apa yang terjadi kepada cikgu itu. Jangan pula kita menambah deritanya.
Kita kena ingat, polis juga sedang melakukan siasatan untuk memburu siapa yang menyebarkan video aib cikgu itu. Jangan nanti ada yang ditangkap kerana menyebarkan video berkenaan.