SUNGAI BULOH – 'Markas' melepaskan gian dadah di kawasan semak di Jalan Kuari Matang Jaya di sini digempur polis dalam satu serbuan Op Sarang pada Sabtu.
Serbuan yang bermula pada jam 7.45 pagi itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor hasil maklumat dan risikan.
Ketika serbuan dijalankan, seorang wanita yang juga ibu kepada seorang anak turut dicekup ketika hendak mendapatkan bekalan dadah.
Pekerja kantin itu mendakwa dia mula mengambil dadah sejak tahun lalu kerana dipengaruhi rakan dengan alasan untuk menurunkan berat badan.
"Saya ambil barang (dadah) ini sejak tahun lepas sebab nak kurus. Sekali ambil bayar RM50,” katanya.
Ketua JSJN Selangor, Asisten Komisioner Mohd Faisal Mohd Noor berkata, serbuan melibatkan kekuatan tiga pegawai dan 14 anggota itu berjaya menahan seramai 50 individu termasuk seorang wanita berusia lingkungan 20-an hingga 60-an.
Menurutnya, semakan mendapati dua daripada suspek lelaki merupakan warga Indonesia.
"Seorang suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala 49 lagi individu dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Tambah beliau, polis turut merampas dadah jenis heroin dengan anggaran berat 273.32 gram, syabu (184.5 gram), serta eramin 5 (20 gram).
Tegasnya, Op Sarang merupakan salah satu inisiatif dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan yang telah dikenal pasti sebagai sarang pengedar dan penagih di sekitar Selangor.