SHAH ALAM - Larian Wira 2025–Night Run anjuran Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang berlangsung di Dataran Wawasan, Putrajaya telah berjaya menarik 10,000 penyertaan daripada segenap lapisan masyarakat.
Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Azizan Ariffin berkata, program bertemakan Demi Wira Kami itu bertujuan untuk menghargai pengorbanan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berjuang demi melindungi kedaulatan negara.
Menurutnya, ia juga bertujuan menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Salah satu tumpuan utama acara ini ialah hebahan terhadap pengumpulan dana untuk Kempen Tabung Pahlawan yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM.
"Dana yang dikumpulkan ini akan disalurkan kepada veteran ATM yang memerlukan, termasuk mereka yang terlantar sakit, kurang upaya dan warga emas yang hidup bersendirian.
"Kempen ini merupakan inisiatif kebajikan penting yang memberi sokongan moral dan kewangan kepada veteran ATM yang telah banyak berjasa mempertahankan tanah air,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Turut hadir memeriahkan acara ialah Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim; Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris; barisan pengurusan tertinggi LTAT serta wakil-wakil syarikat Kumpulan LTAT.
Edisi khas tahun ini yang diadakan buat julung kali pada waktu malam mengetengahkan tiga kategori larian iaitu 5 kilometer (km) bagi Fun Run, manakala 10 km dan 21.1 km bagi half marathon.
Lebih menarik, segmen Fun Run 5 km turut disertai 22 kanak-kanak istimewa dari Incredible Warrior Club.
Tambah Azizan, lebih bermakna apabila LTAT turut berganding bahu dengan pihak JHEV dalam memperluas hebahan mengenai Tabung Pahlawan bagi membuka ruang kepada rakyat Malaysia untuk menyalurkan sumbangan kepada para veteran ATM yang memerlukan sokongan.
Sementara itu, Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi meluahkan rasa syukur dan bangga atas sambutan luar biasa terhadap penganjuran Larian Wira 2025–Night Run.
Jelasnya, ia membuktikan bahawa penghargaan rakyat terhadap wira negara tidak pernah pudar.
"LTAT akan terus komited menjadikan Larian Wira sebagai satu platform yang memperkukuh ikatan antara masyarakat dan ATM serta menyemai rasa bangga terhadap jati diri dan perjuangan negara tercinta,” ujar beliau.
Acara itu turut disemarakkan dengan pelbagai aktiviti seperti Zumba Night Warm-Up oleh Badan Kesenian Tentera Udara, persembahan Hakka oleh Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Drumline ATM, pembukaan reruai oleh Jabatan Rehabilitasi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan yang menawarkan rawatan pemulihan kepada para peserta larian serta pameran ketenteraan oleh ATM.
Selain itu, syarikat Kumpulan LTAT seperti Affin Bank, BHPetrol dan AHAM Asset Management Berhad (AHAM Capital) juga mengadakan reruai pameran.