Kera dan anjing liar, sampai bila nyawa jadi taruhan

Iklan
Sekumpulan kera liar sedang makan buah mangga milik penduduk.

MASALAH serangan kera dan anjing liar bukan perkara baharu. Dari utara ke selatan, pantai timur hingga ke Sabah dan Sarawak, isu ini terus berulang tanpa noktah.

Kejadian terbaharu, dua mangsa termasuk seorang remaja lelaki cedera selepas terjatuh motosikal manakala seorang warga emas pula dimasukkan ke hospital akibat pendarahan dalam kepala kerana terjatuh akibat diserang kera liar.

Iklan
Iklan

Dua kejadian berasingan dalam tempoh tiga hari itu berlaku di Taman Berkat Jaya dan Kampung Kubang Lebur, Kelantan.

Mangsa, Muhammad Afif Mohd Affandi, 16, mengalami kecederaan pada siku, bahu, pinggang dan paha, selain menerima tiga jahitan di kepala selepas motosikal yang ditunggangnya terbalik ketika cuba melarikan diri apabila diserang sekumpulan kera.

Iklan

Mangsa kedua, Zaiton Omar, 62, pula terpaksa dimasukkan ke hospital sama selama empat hari selepas terjatuh dan terhentak kepala ketika cuba menghalau sekumpulan kera yang memakan buah durian belanda di halaman rumahnya pada Selasa lalu.

Persoalannya, sampai bila masyarakat harus hidup dalam ketakutan di tanah air sendiri, hanya kerana haiwan yang sepatutnya dikawal ini terus berkeliaran tanpa sekatan?

Iklan

Laporan di beberapa negeri menunjukkan kera menceroboh rumah, menyelongkar dapur malah mencederakan bayi serta warga emas. Ini bukan sekadar gangguan kecil, ia adalah ancaman keselamatan.

Kumpulan anjing liar berkeliaran di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kaya kerap dilihat mengganggu kanak-kanak ke sekolah.

Bagi anjing liar pula, situasi menjadi lebih kritikal di kawasan perumahan, taman permainan dan sekolah. Kes rabies masih dilaporkan, walaupun ada kempen, penyelesaian bersifat jangka pendek sahaja.

Jabatan berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Perhilitan dan pihak berkuasa kesihatan sering kali hanya muncul selepas kejadian berlaku.

Pendekatan reaktif ini menyebabkan isu terus berulang, manakala mangsa terus bertambah.

Sampai bila masyarakat mahu hidup dalam keadaan begini? Adakah nyawa rakyat hanya mendapat perhatian apabila sudah viral di media sosial atau selepas berlaku kematian?

Kita faham ada kekangan dari segi sumber dan peruntukan. Kita faham isu ini melibatkan keseimbangan antara hak haiwan dan keselamatan manusia. Tapi bila keutamaan nyawa manusia sendiri dipandang enteng, maka ada sesuatu yang tidak kena pada sistem.

Kita bukan menolak hak haiwan. Tapi bila haiwan menjadi ancaman tidak kira kera, anjing, atau apa sekali pun pendekatan mesti tegas dan sistematik.

Program kawalan populasi, penempatan semula, penangkapan secara berkala dan penyelidikan terhadap tabiat haiwan-haiwan ini harus jadi keutamaan. Bukan sekadar tembak seekor dua bila kes viral, kemudian senyap semula.

Mungkin sudah tiba masanya Malaysia mempunyai Polisi Nasional Pengurusan Haiwan Liar dan Terbiar, yang bukan hanya bergantung pada tindakan PBT atau negeri. Isu ini merentas sempadan daerah dan negeri serta wajar dikendalikan dengan perancangan jangka panjang serta bajet khas.

Sudah terlalu lama rakyat menjadi mangsa kepada kelemahan pengurusan haiwan liar dan terbiar. Ini bukan soal ‘mengganggu ketenteraman awam’ semata-mata, tetapi soal keselamatan dan nyawa.

Jangan tunggu sehingga ada yang maut baru semua mula buka mata.