MAKKAH – Jemaah haji diingatkan supaya menjaga kesihatan dan membuat persiapan rohani serta fizikal dengan rapi sebelum berangkat ke Arafah bagi melaksanakan ibadah wukuf yang merupakan kemuncak ibadah haji.
Timbalan Mufti Perlis merangkap Ketua Pakar Rujuk Ibadah Haji, Tajul Urus Abdul Halim berkata, wukuf di Arafah merupakan rukun haji yang wajib dilaksanakan oleh setiap jemaah tanpa pengecualian.
Menurutnya, sekiranya jemaah gagal berada di Arafah dalam tempoh waktu yang ditetapkan, hajinya tidak sah dan perlu diganti pada tahun berikutnya.
Beliau berkata, justeru antara perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh jemaah menjelang hari wukuf adalah aspek kesihatan.
Katanya, jemaah dinasihatkan agar tidak melakukan perbuatan atau pergerakan lebih agresif yang boleh menyebabkan kesihatan mereka terjejas.
"Jangan kita mengambil tindakan ataupun merasakan diri kita kuat, sihat dan sebagainya sehingga kita melakukan tindakan-tindakan yang tidak sewajarnya.
"Aktiviti berlebihan boleh menyebabkan keletihan yang seterusnya menjejaskan kelancaran pelaksanaan ibadah wukuf dan amalan lain selepas itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Abraj Al Janadriyah di sini.
Beliau turut mengingatkan jemaah haji supaya menjaga pemakanan dan mendapatkan tidur serta rehat yang mencukupi.
Selain kesihatan dan persiapan rohani, katanya, jemaah juga perlu membuat persediaan mencukupi dari segi keperluan peribadi seperti pakaian ihram, ubat-ubatan dan lain-lain untuk kegunaan sepanjang berada di Arafah sehingga selesai ibadah melontar di Mina.
"Jagalah makan, minum dan rehat yang cukup.
Tambahnya, sebelum berniat di hotel ataupun dari miqat masing-masing, jemaah haji juga perlulah mengikhlaskan diri melakukan ibadat haji hanya kerana ALLAH SWT.
Beliau turut menasihati jemaah agar sentiasa bergantung harap dan memohon pertolongan daripada ALLAH SWT agar segala urusan dipermudahkan.
"Jemaah haji telah melakukan pengorbanan besar dari sudut masa, wang ringgit dan tenaga. Jangan rosakkan segalanya hanya kerana niat yang tidak betul atau kerana ingin dikenali sebagai ‘haji’ semata-mata.
"Meskipun kita berada dalam sistem pengurusan haji yang tersusun, kita juga tetap perlu berserah dan memohon doa kepada ALLAH agar semuanya berjalan lancar,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau berkata, jemaah haji digalakkan untuk mengulangkaji ilmu haji yang telah dipelajari dalam kursus asas sebanyak 13 siri sebelum ini.
"Tengok balik apa-apa yang telah dipelajari sebelum ini supaya apa yang dilakukan dalam keadaan betul dan menepati kehendak diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW.
"Maksudnya, tak boleh kita nak reka sendiri, nak buat pandai sendiri, nak buat yang kata ikut seronok kita... ikut sedap kita. Tak boleh. Mesti kita kena mengambil betul-betul apa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW,” katanya.