AKTP platform lahir pemimpin faham jati diri bangsa, agama

Iklan
Barisan tetamu dan individu yang hadir pada majlis pelancaran akademi AKTP di sebuah hotel di ibu negara pada Sabtu.

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Penubuhan Akademi Kepimpinan Tun Perak (AKTP) bakal menjadi platform untuk memperkukuh kefahaman rakyat terhadap jati diri bangsa dan agama sekali gus melahirkan pemimpin pelapis yang mampu mempertahankan identiti negara.

Pengerusi Gabungan Nasionalis merangkap pengasas penubuhan AKTP, Aminuddin Yahaya berkata, langkah tersebut selaras dengan objektif penubuhannya yang bersifat pelengkap kepada sistem pendidikan sedia ada, namun bukan bertujuan meniru model institusi pengajian tinggi (IPT) awam mahupun swasta.

Iklan
Iklan

"Kita mahu menambah nilai dalam pembentukan jati diri generasi muda bukan bersaing dengan IPT. Sebab itu kita fokus kepada 10 bidang penting seperti geopolitik, isu semasa, sejarah, perundangan dan perlembagaan.

"Namun, pendekatan kita lebih kepada pencerahan kepada masyarakat bukan semata-mata bersifat akademik. Kita mahu rakyat faham apa itu Perlembagaan Persekutuan, sejarah serta identiti bangsa dan agama,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas majlis pelancaran akademi tersebut di sebuah hotel di ibu negara pada Sabtu.

Iklan
AKTP yang memberi fokus kepada sejarah, perlembagaan dan isu semasa demi kestabilan identiti negara. dirasmikan Dr Awang Sariyan (kanan) dan turut dihadiri Ustaz Muhammad Fauzi (tengah) serta Aminuddin (kiri).

Majlis itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr Awang Sariyan dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif AKTP, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni bersama barisan penasihat, felo dan jurulatih akademi tersebut.

Menurut Aminuddin, AKTP menyasarkan untuk melatih sekurang-kurangnya 500,000 peserta dalam tempoh 15 tahun dengan dibantu oleh 20 jurulatih berpengalaman.

Iklan

"Daripada jumlah tersebut, kita berharap antara lima hingga 10 peratus daripada peserta mampu menjadi pemimpin berwibawa yang membawa perubahan kepada landskap pemikiran rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelbagai cabaran pemikiran songsang kini melanda negara termasuk dari aspek sejarah, perundangan dan ideologi seperti liberalisme serta pluralisme.

"Ada cubaan mengubah konsep kenegaraan kita. Oleh itu, kita perlu cipta naratif baharu agar masyarakat kembali memahami maksud sebenar Melayu, Islam dan kepimpinan,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berpandangan bahawa penubuhan akademi tersebut merupakan langkah baik untuk melatih pemimpin Melayu dan Islam agar lebih memahami sejarah dan perlembagaan.

"Maka, jati diri orang Melayu itu akan terus kekal. Bahasa dan budaya Melayu juga kekal dan yang paling penting, tampuk pemerintahan serta kepimpinan perlu terus dipegang oleh orang Melayu.

"Harapannya, usaha ini akan berterusan dan bukan terhenti di sini sahaja supaya ia menjadi satu pusat melatih pemimpin pelapis Melayu,” katanya.