SIDANG Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di Kuala Lumpur minggu lalu mencatat satu lagi kejayaan bukan sahaja dari segi diplomasi serantau, malah dalam aspek kesalinghubungan digital menerusi penyediaan sambungan internet berkelajuan tinggi teknologi 5G yang menjadi nadi utama kelancaran acara bertaraf antarabangsa.
Inisiatif yang digerakkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama kerjasama erat pemain industri telekomunikasi telah memastikan liputan berprestasi tinggi tersedia sepenuhnya di lokasi-lokasi strategik sekitar pusat persidangan dan hotel penginapan delegasi.
Sebelum ini Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan, agensi di bawah Kementerian Komunikasi itu komited memperkukuhkan penyediaan sambungan internet bertaraf dunia apabila berjaya menyediakan kemudahan sambungan yang boleh mencapai kelajuan sehingga 1Gbps pada satu-satu masa.
Rangkaian 5G stabil dan pantas
Ketersediaan internet 5G yang stabil dan pantas sepanjang sidang membolehkan delegasi dari 10 negara ASEAN serta rakan dialog antarabangsa menjalankan tugas secara lancar termasuk siaran langsung, mesyuarat hibrid, serta pertukaran maklumat masa nyata.
Pakar keselamatan siber, Dr Suresh Ramasamy berpandangan, liputan rangkaian 5G sepanjang persidangan berlangsung amat cemerlang terutama di lokasi perjumpaan sidang ASEAN.
"Walaupun dari segi kepantasan rangkaian masih ada peluang untuk dipertingkatkan lagi, namun pengalaman penggunaan memang baik jika dibandingkan dengan rangkaian serantau.
"MCMC telah berganding bahu dengan penyedia rangkaian telekomunikasi secara menyeluruh dari segi kestabilan, kepantasan dan keselamatan.
"Ia terbukti dengan ketiadaan maklum balas negatif mahu pun insiden semasa persidangan," katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu beliau berpendapat, komitmen negara dalam menyediakan infrastruktur internet berkelajuan tinggi sepanjang persidangan berprestij itu memperlihatkan imej Malaysia sebagai negara berdaya saing seiring negara Asean lain.
Malah menurutnya, ia bukan sahaja menzahirkan kematangan Malaysia dalam pembangunan rangkaian 5G, malah secara tidak langsung memperkukuh peranan sebagai pelopor transformasi digital di rantau ASEAN.
Selain itu beliau menjelaskan, MCMC melalui Digital Nasional Berhad (DNB) juga sudah lama menerajui usaha pembangunan 5G melalui pelaksanaan model rangkaian borong tunggal (SWN).
Pendekatan unik dan progresif itu ujarnya, menyerlahkan kemampuan agensi berkenaan untuk sentiasa bersedia mendepani cabaran digital Malaysia.
Deklarasi ASEAN kunci kesepaduan serantau
Deklarasi ASEAN mengenai keselamatan siber yang ditandatangani sempena Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur minggu lalu merupakan satu langkah penting ke arah kesepaduan serantau dalam mempertahankan ruang digital.
Sebagai negara yang aktif dalam agenda digital, Malaysia dilihat boleh memanfaatkan peluang berkenaan menerusi pengukuhan diplomasi digital dengan rakan Asean, mempercepat transformasi digital yang selamat selain menjadi hab keselamatan siber serantau.
Menurut pakar teknologi maklumat dan siber, Fong Choong Fook, kerjasama negara-negara ASEAN merupakan satu langkah penting terutama ketika dunia berdepan dengan kecerdasan buatan (AI) dan IoT (internet of Thing).
"Dalam dunia siber, banyak maklumat risikan menjadi ancaman seperti serangan siber, pergerakan penggodam. Malah, maklumat risikan ini sepatutnya dikongsi antara negara-negara ASEAN yang berbeza.
"Tindakan ini ini akan membantu negara terkesan untuk lebih bersedia dalam menghadapi serangan siber. Jadi, perkongsian risikan ancaman adalah satu inisiatif yang baik,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau turut berharap agar kerajaan serta agensi berkaitan meneruskan usaha meningkatkan keselamatan siber di negara ini.
Walaupun Sidang Kemuncak ASEAN berjaya mempamerkan keupayaan infrastruktur digital Malaysia sebagai pemangkin kelancaran acara bertaraf antarabangsa, namun sistem keselamatan siber negara harus dipertingkatkan serta diperkasa secara holistik.
Beliau berpandangan, kerajaan tidak boleh bersandar dengan pendekatan lapuk untuk menyelesaikan isu berkaitan keselamatan siber.
Malah menurutnya, kegagalan menangani ancaman terbabit boleh membawa risiko keselamatan serius kepada masyarakat awam.
"Satu lagi isu yang sangat kritikal untuk dipertimbangkan adalah kita masih kekurangan dari segi keselamatan siber dan dunia pendigitalan bukan hanya sekadar sambungan internet berkelajuan tinggi.
"Pendigitalan sebenar turut melibatkan aspek keselamatan siber dan ia mungkin terlepas pandang.
"Jadi bagi memastikan kerjasama ASEAN itu berjaya, kita sendiri mesti meningkatkan keupayaan dalaman terlebih dahulu," ujarnya.
Sebagai rekod, liputan 5G di kawasan berpenduduk Malaysia telah mencapai 82.4 peratus pada Disember 2024, menjadikan negara ini antara yang terpantas dalam pelaksanaan 5G di peringkat global.
Kadar penembusan pengguna juga melonjak kepada 53.35 peratus berbanding 24.60 peratus sebelumnya, membuktikan tahap penerimaan rakyat terhadap teknologi ini semakin meluas.
Dalam masa yang sama, inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) juga telah melebihi sasaran dengan lebih 9.03 juta premis menikmati akses kepada internet berkelajuan tinggi dan gentian optik, sehingga Disember 2024.