KOTA TINGGI - Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 37, Jalan Johor Bahru–Mersing pada lewat malam Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman, pihaknya menerima makluman mengenai kemalangan berkenaan pada jam 11 malam.
Iklan
Iklan
"Siasatan mendapati kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna hitam yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun, dengan sebuah motosikal jenis SYM VF3i yang ditunggang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun.
"Dalam kemalangan tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di pelbagai bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Pemandu kereta Proton Wira pula mengalami kecederaan parah dan menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.