Tertuduh tiba-tiba menangis, prosiding kes bunuh terhenti seketika

Iklan
Tertuduh ketika hadir di Mahkamah Tawau.

TAWAU - Prosiding kes bunuh seorang penebar roti canai wanita terpaksa dihentikan seketika selepas tertuduh tiba-tiba menangis dan berdiam diri ketika ditanya sama ada mengaku bersalah atau tidak selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Tinggi Tawau, pada Khamis.

Tertuduh, Md Ridzuan Abd Ahmad Zaini Logan, 35, tidak memberikan sebarang jawapan dan dalam keadaan emosi tidak stabil menyebabkan prosiding ditangguhkan seketika sebelum disambung semula.

Iklan
Iklan

Selepas prosiding disambung, mahkamah kemudian menetapkan tarikh baharu bagi sebutan semula kes berkenaan.

Pertuduhan terhadap Md Ridzuan dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos.

Iklan

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Sirlin Salleh di kawasan semak Kampung Pisang, Lahad Datu, antara jam 6 hingga 8 pagi pada 14 November 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan 12 sebatan jika tidak dihukum mati.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif manakala tertuduh diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki.

Mahkamah menetapkan 1 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum itu, Sinar Harian pada 14 November 2023 melaporkan mangsa yang berusia 36 tahun ditemukan tidak bernyawa oleh ahli keluarganya di kawasan semak sebuah kebun pisang kira-kira 600 meter dari rumahnya.

Mangsa dipercayai keluar dari rumah kira-kira jam 6.15 pagi untuk berjalan kaki ke tempat kerja dengan melalui kawasan semak berkenaan.

Mangsa dikatakan tidak sampai ke tempat kerjanya sebelum pihak majikan bertindak menghubungi ahli keluarganya.

Susulan itu, ahli keluarga bertindak mencari mangsa sebelum menemui mayatnya kira-kira 600 meter dari rumah dan dipercayai dirogol serta dibunuh dengan kesan kelar pada bahagian leher.