KEMAMAN – Seorang penunggang motosikal maut dalam satu kemalangan dipercayai dirempuh sebuah kereta di Kilometer 147, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, awal pagi Jumaat.
Mangsa, wanita berusia 21 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha YZF-R15M, difahamkan dalam perjalanan dari Marang menuju ke Geliga sebelum dilanggar kira-kira jam 2.40 pagi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, siasatan awal mendapati motosikal mangsa telah dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta yang identitinya masih belum dikenal pasti.
"Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.
Tambahnya, berdasarkan maklumat awal saksi, kereta yang melanggar mangsa dipercayai berwarna putih dan sedang menghala ke arah Kuantan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat di talian 013-5214992 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di 09-8592222.