13 individu curi kabel kena SOSMA

Iklan
Hussein

SHAH ALAM - Polis akan menahan lanjut seramai 13 individu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi meneruskan siasatan berkaitan kegiatan sindiket curi kabel yang dipercayai mensabotaj sistem komunikasi utama negara.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua tangkapan dibuat menerusi Op Lusuh Mulia yang dilancarkan pihaknya sebelum ini.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kesemua suspek kini ditahan di bawah Seksyen 124K Kanun Keseksaan kerana disyaki terlibat dalam jenayah yang mempunyai niat mensabotaj infrastruktur komunikasi kritikal di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

"Kecurian kabel ini melibatkan laluan penting yang menyokong infrastruktur data kerajaan dan sektor keselamatan. Gangguan terhadap kemudahan ini boleh menyebabkan gangguan besar terhadap sistem komunikasi negara serta mengancam ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Susulan itu, semua Orang Kena Tahan (OKT) akan terus ditahan bagi tempoh maksimum 28 hari mengikut Seksyen 4(5) SOSMA bagi membantu siasatan lanjut.

Hussein turut menegaskan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani sebarang ancaman yang boleh menjejaskan keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat.

Iklan

"Kerjasama orang awam amat diperlukan dalam mengekang aktiviti jenayah yang berisiko menggugat kestabilan dan keharmonian negara,” ujarnya.

Dalam sidang akhbar sebelum ini, Hussein memaklumkan bahawa sindiket berkenaan dikenali dengan nama kod ‘Mulia’ dan didalangi oleh dua lelaki yang masing-masing mempunyai 29 dan 36 rekod jenayah, termasuk beberapa kes berkaitan dadah dan narkotik.

Siasatan turut mendapati sindiket ini telah menjalankan sekurang-kurangnya 23 transaksi jualan kabel di sebuah kedai besi buruk di Semenyih melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM683,000.

Media juga melaporkan bahawa lima anggota polis turut ditahan bersama 16 individu lain baru-baru ini, dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket sama yang bergerak aktif di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.