PPZ-MAIWP, BSN meterai MoU perkukuh ekosistem wakaf dan zakat

Iklan
Dari kiri: Timbalan Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rasid, Jay Khairil, Abdul Hakim dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Mohammed Hassan.

SHAH ALAM - Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bersama Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi memperkukuh ekosistem wakaf dan zakat di Wilayah Persekutuan.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, MoU itu dimeterai bagi memberi kemudahan Sistem Pembayaran Wakaf dalam talian menerusi aplikasi MyBSN sekali gus memudahkan pengguna menunaikan wakaf dengan lebih cepat, selamat dan telus.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sinergi antara PPZ-MAIWP dan BSN itu bukan yang pertama, memandangkan insitusi perbankan tersebut telah dilantik sebagai ejen rasmi kutipan zakat PPZ-MAIWP sejak tahun 2011.

"PPZ-MAIWP amat optimis bahawa BSN, sebagai rakan strategik yang memiliki kepakaran luas dalam perkhidmatan kewangan mampu membantu meningkatkan kutipan wakaf di Wilayah Persekutuan melalui pelbagai platform berwakaf yang disediakan.

Iklan

"Kami juga yakin masyarakat berpeluang untuk berwakaf dengan lebih mudah dan mesra pengguna, sekali gus menyemarakkan lagi budaya memberi tanpa ganjaran dalam kalangan umat Islam," katanya ketika majlis menandatangani MoU berkenaan di Ibu Pejabat PPZ-MAIWP di Kuala Lumpur pada Khamis.

Turut hadir pada majlis tersebut, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PPZ-MAIWP, Mohammed Hassan; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) PPZ-MAIWP, Azrin Datuk Abdul Manan; Timbalan Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid dan Ketua Pegawai Syariah BSN, Anuar Elias.

Iklan

Pada majlis tersebut, BSN turut menyampaikan sumbangan wakaf tunai berjumlah RM20,000 kepada

PPZ-MAIWP sebagai sokongan kepada projek-projek wakaf yang sedang dilaksanakan.

Abdul Hakim (kanan) dan Jay Khairil (kiri) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di ibu pejabat PPZ-MAIWP pada Khamis.

Tambah Abdul Hakim, majlis berkenaan merupakan simbolik kepada kerjasama strategik di antara dua institusi dalam usaha memperkukuh ekosistem wakaf dan zakat di Wilayah Persekutuan di mana BSN secara rasminya telah dilantik sebagai ejen kutipan wakaf tunai PPZ-MAIWP.

Ujarnya, pelanggan BSN turut mempunyai akses kepada pelbagai saluran sedia ada untuk tujuan berwakaf, termasuk mesin pengeluaran automatik (ATM) atau CDM, perbankan internet, e-Biller, QR DuitNow, pendebitan keuntungan melalui akaun simpanan, ejen bank dan juga di kaunter-kaunter BSN.

"Setiap transaksi akan dikemaskini secara automatik bagi memudahkan pewakaf menyemak rekod

sumbangan wakaf secara langsung.

"PPZ-MAIWP menyeru kepada semua pelanggan yang mempunyai akaun simpanan dengan BSN memberikan keizinan kepada BSN untuk menyalurkan keuntungan bulanan yang diterima di dalam akaun simpanan pelanggan kepada PPZ-MAIWP.

"Sumbangan ini akan dimanfaatkan dengan menjalankan inisiatif-inisiatif wakaf yang telah dirancang. Pelanggan BSN boleh memberi keizinan dengan hadir ke mana-mana cawangan BSN yang terdekat," katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil Jeremy Abdullah berkata, pihaknya percaya bahawa wakaf mempunyai potensi besar sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi ummah.

Menurutnya, melalui kerjasama berkenaan, BSN komited untuk menyediakan akses yang lebih mudah, diyakini dan inklusif kepada masyarakat untuk berwakaf secara digital.

"Ia selaras dengan komitmen kami dalam memperkasa kewangan sosial Islam seterusnya mendukung inisiatif pendigitalan.

"Kerjasama ini dijangka memberi kesan positif jangka panjang kepada pengukuhan sistem sokongan sosial Islam serta memperluas capaian masyarakat kepada saluran berwakaf secara digital, seiring dengan aspirasi negara ke arah digitalisasi perkhidmatan awam dan kewangan Islam," ujarnya.

Untuk rekod, ini merupakan tahun ketiga PPZ-MAIWP diamanahkan untuk mengutip wakaf tunai

di Wilayah Persekutuan.

Suku pertama 2025 iaitu di antara Januari hingga April memperlihatkan kutipan wakaf tunai meningkat lebih 50% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, iaitu daripada RM2.19 juta kepada RM3.31 juta.

Pada masa sama, sebanyak 33 buah projek khas meliputi sektor kesihatan, pendidikan, perumahan, sosial dan kecemasan perlu disempurnakan dengan keperluan dana keseluruhan berjumlah RM748 juta.

Untuk maklumat lanjut berkaitan wakaf tunai PPZ-MAIWP, orang ramai boleh layari portal wakaf PPZ di laman wakafppz.com.my atau di talian 1-300-88-5757.