SEREMBAN – Permintaan terhadap lembu bagi ibadah korban di Negeri Sembilan tahun ini menunjukkan trend penurunan walaupun harga kekal seperti tahun sebelumnya.
Menurut seorang pengusaha lembu tempatan, Maarif Maarof, 66, harga lembu korban masih dijual antara RM5,000 hingga RM8,000 seekor, bergantung kepada saiz dan jenis baka.
"Harga tak banyak berubah, sama seperti tahun lalu. Di Negeri Sembilan tiada peningkatan ketara, berbanding Selangor yang saya lihat harga naik hampir 20 peratus,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, pada Jumaat.
Namun, katanya, permintaan daripada pihak masjid dan surau tahun ini menunjukkan sedikit pengurangan.
"Contohnya, jika tahun lepas ada masjid ambil tujuh ekor lembu, tahun ini cuma lima. Ada juga surau yang susah nak cukupkan tiga ekor kerana tidak ramai yang ambil bahagian tahun ini,” ujarnya.
Maarif, yang membekalkan lembu di kawasan Seremban berkata, hanya 60 peratus daripada ternakan yang ditawarkan telah ditempah setakat ini.
"Tahun lepas saya jual lebih 30 ekor, tetapi tahun ini baru 20 ekor ditempah. Mungkin ada tempahan saat akhir, tapi itu jarang berlaku sebab biasanya mereka yang nak korban sudah buat tempahan awal,” katanya.
Sementara itu, Khalid Lubis Amran, 55, seorang lagi pengusaha lembu, turut mengakui sambutan ibadah korban tahun ini agak perlahan.
"Kalau dulu orang cepat buat tempahan, tapi sekarang kita kena tanya beberapa kali untuk sahkan. Saya tak pasti punca sebenar – mungkin ekonomi, atau faktor lain,” katanya.
Tambahnya, dalam kalangan ahli politik juga, tempahan dilihat berkurangan.
"Mungkin bajet itu mahu digunakan untuk tahun depan,” katanya lagi.
Ketika ditanya kemungkinan pelanggan beralih kepada pembekal lain, Khalid menjelaskan ia sukar untuk dipastikan.
"Bagi daerah Jelebu, kebanyakan urusan akan melalui saya sebab saya juga urus rumah sembelihan, termasuk pengagihan daging korban,” ujarnya.