PASIR PUTEH - Kematian seorang pekerja pembinaan di landasan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kampung Permatang Sungkai di sini bukan berpunca daripada terjatuh dari gerabak kereta api.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, sebaliknya mangsa yang juga warganegara China maut selepas terkena serangan jantung.
Katanya, kejadian berlaku pada Rabu ketika lelaki tersebut sedang melakukan kerja-kerja menarik kabel berhampiran landasan kereta api.
"Mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung. Bukan sebagaimana yang ditularkan di laman sosial mengatakan dia telah terjatuh dari kereta api," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Menurut beliau, pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemukan.
Ujarnya, orang ramai diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat palsu berhubung kejadian tersebut.
Zaizul Rizal memberitahu, tindakan itu dibimbangi boleh mengundang spekulasi tidak baik.
Terdahulu tular rakaman di media sosial yang memaparkan seorang lelaki melaporkan pekerja ECRL telah maut terjatuh dari kereta api.
Video tular itu telah mengundang pelbagai komen dalam kalangan warganet.