'Ada yang sudah beranak-pinak' - Lokasi panas warga asing di Pasar Borong KL diserbu

Iklan
PGA mengawal lokasi serbuan bagi melaksanakan pemeriksaan warga asing di Selayang Utara, Kuala Lumpur pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Lokasi panas penempatan warga asing hingga mereka beranak-pinak di Selayang Utara, berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur di sini diserbu penguat kuasa pada Khamis.

Op Kachi berskala besar bermula jam 10.45 malam itu dijalankan secara bersepadu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada Pasukan Gerakan Am (PGA).

Iklan
Iklan

Selain PGA, operasi itu turut membabitkan elemen lain dalam PDRM seperti pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) selain kerjasama agensi lain antaranya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Suruhanjaya Tenaga dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Semasa serbuan, terdapat segelintir warga asing yang cuba melarikan dan bersembunyi selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Iklan

Tinjauan Sinar Harian mendapati ada antara warga asing yang bertindak bersembunyi di sebalik timbunan daun pandan serta sayuran di premis perniagaan sekitar lokasi.

Malah, terdapat juga beberapa kediaman dan premis perniagaan yang diubah suai meter elektrik dan sambungan bekalan air haram.

Iklan

Dalam operasi tersebut, PGA tampil dengan pakaian operasi lengkap dan bersenjata api sekali gus mengelak sebarang cubaan provokasi atau tindakan agresif oleh warga asing ketika pemeriksaan dilakukan.

JIM membuat tapisan dokumen warga asing semasa operasi penempatan warga asing di Selayang Utara.

Timbalan Pengarah Jabatan Ketenteraman Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) PGA, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, Op Kachi hasil risikan dua minggu berkenaan bertindak memeriksa 1,435 warga asing termasuk kanak-kanak.

Menurutnya, kebanyakan yang diperiksa melibatkan warga Myanmar yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) selain warga India, Nepal, Bangaldesh serta Indonesia.

"Tindakan ini diambil berikutan aduan awam berkenaan lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Kami percaya ini salah satu 'hotspot' lokasi warga asing di Kuala Lumpur dan ada lagi selain lokasi di sini," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Operasi yang tamat kira-kira jam 6 pagi, Jumaat turut mengenal pasti kediaman yang diubah suai bagi membolehkan warga asing itu menghuni dalam jumlah lebih ramai.

Kata beliau, majoriti warga asing yang ditahan bekerja di sekitar pasar borong serta premis berhampiran.

"Polis sudah ada senarai-senarai 'hotspot' penempatan warga asing dan tindakan lanjut akan diambil," ujarnya.

Tegasnya, tindakan lain turut diambil oleh pihak SPAN selepas mengesan elemen curi dan sambungan air secara haram, manakala TNB mengenal pasti sambungan meter elektrik di premis.

"Berdasarkan pemeriksaan yang dibuat serta adanya pemeriksaan ke atas kanak-kanak, saya percaya ada warga asing ini yang lahir di sini," ujarnya.

Tegasnya, berikutan itu tindakan lanjut diambil oleh JIM untuk semakan dokumen termasuklah kad UNHCR sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tapisan lanjut.