HULU TERENGGANU - Spesies kelulut jarang ditemui dikenali sebagai kelulut sayap putih atau 'homotrigona anamitica' berjaya dikesan di Kampung Menerong, Ajil di sini menerusi Ekspedisi Kayak Jejak Kelulut Sungai Berang.
Ketua Kumpulan Penyelidik Lebah dan Kelulut Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Shamsul Bahri Abd Razak memaklumkan, ia merupakan penemuan pertama direkodkan di Terengganu sepanjang penglibatannya dalam penyelidikan serangga itu.
"Sebelum ini, kelulut sayap putih hanya pernah dijumpai di Merbok, Kedah pada 2015 dan di Kuantan, Pahang sekitar tujuh tahun lalu.
"Spesies sama ditemui di Hulu Terengganu ini menjadikan ia sebagai satu penemuan yang amat bermakna," katanya ketika ditemui di lokasi ekspedisi, baru-baru ini.
Menurutnya, kehadiran kelulut sayap putih bukan sahaja menandakan ekosistem hutan yang sihat, malah berpotensi untuk dikembangkan sebagai tarikan pelancongan berasaskan alam di kawasan berkenaan.
Beliau menjelaskan bahawa spesies berkenaan memiliki keupayaan luar biasa untuk bertahan dalam air sehingga dua atau tiga minggu kerana struktur corong sarangnya yang boleh tertutup bagi menghalang kemasukan air.
"Kelulut ini berasal daripada kumpulan kelulut jenis damar yang memerlukan persekitaran hutan semula jadi untuk terus hidup.
"Ia sangat bergantung kepada pokok seperti meranti, kayu kapur, merbau dan jenis kayu keras lain yang mengeluarkan damar," katanya.
Dalam ekspedisi itu, beberapa lagi spesies kelulut turut dikenal pasti seperti 'geniotrigona thoracica', 'heterotrigona itama' dan 'lophotrigona canifrons', yang menunjukkan kepelbagaian biodiversiti di sepanjang laluan Sungai Berang.
Ekspedisi Kayak Jejak Kelulut Sungai Berang dianjurkan oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Menerong itu menarik penyertaan lebih 20 peserta.
Perjalanan ekspedisi sejauh 8.5 kilometer tersebut bermula dari CBT Kalang Rengas, Kampung Gunung dan berakhir di Kampung Pengkalan Ajal, di sini.