[DIKEMAS KINI] PERLAKSANAAN wajib penggunaan silinder gas petroleum cecair (LPG) komersial 14 kilogram ataupun tong LPG komersial bertujuan membezakan tong subsidi dengan bukan subsidi, selain meningkatkan keselamatan dan mengelakkan penyelewengan.
Langkah yang berkuat kuasa sejak 1 Mei lepas itu dilihat penting bagi memastikan hanya pengguna layak menerima manfaat subsidi dan mengelakkan ketirisan, namun pelaksanaannya pada awalnya menimbulkan beberapa persoalan penting.
Ia memandangkan timbul dakwaan bahawa modal sebanyak RM70 terpaksa dikeluarkan semua pengusaha termasuklah peniaga kecil untuk satu tong LPG komersial, berbanding hanya RM26.60 untuk LPG bersubsidi sebelum ini.
Disebabkan itu, kebanyakan peniaga kecil bimbang langkah terbabit membebankan mereka memandangkan kos operasi harian akan meningkat sehingga dua kali ganda berbanding penggunaan gas subsidi sekarang.
Lebih membimbangkan, situasi terbabit boleh memberi kesan rantaian dan akhirnya membebankan pengguna apabila harga makanan ataupun minuman boleh naik sehingga 20 peratus.
Lantaran itu, ada pihak mencadangkan supaya menangguhkan penggunaan LPG, ada pula mengesa supaya harga dinilai supaya supaya lebih munasabah, sekali gus tidak membebankan peniaga.
Selain isu kos, ada kemungkinan timbul juga kekeliruan di peringkat pengguna memandangkan tidak semua orang faham mengapa tong LPG komersial diperkenalkan, malah ada yang bimbang harga gas akan naik.
Hakikatnya, hanya premis berskala besar seperti hotel, restoran besar dan dapur industri yang menggunakan lebih tiga tong LPG dalam satu masa yang diwajibkan beralih kepada LPG komersial.
Tanpa penerangan jelas, risiko salah faham dan kekeliruan tentang perlaksanaan gas LPG komersial akan terus berlaku.
Justeru, kerajaan disaran mengadakan kempen penerangan secara menyeluruh dan berterusan supaya semua pihak tahu tujuan sebenar pelaksanaan tong LPG komersial.
Dalam masa sama, perlu ada pemantauan ketat untuk mengelakkan manipulasi harga di peringkat pembekal atau peruncit.
Matlamat baik perlu disokong, tetapi pelaksanaan tong LPG komersial mestilah tidak menjadi beban tambahan kepada rakyat