Ketandusan petani muda ancam masa depan pertanian negara

Iklan
Hampir separuh pengusaha pertanian di Malaysia berusia 60 tahun ke atas. Foto hiasan

ISU kekurangan petani muda di Malaysia semakin membimbangkan dengan data menunjukkan bahawa hampir separuh atau 45.4 peratus daripada pengusaha pertanian individu di Malaysia adalah daripada golongan tua berusia 60 tahun ke atas melibatkan 458,395 orang.

Berdasarkan Laporan Interim Banci Pertanian 2024 diluncurkan pada Khamis, seramai 326,287 orang atau 32.3 peratus daripada pengusaha pertanian individu adalah kumpulan berumur 46 hingga 59 tahun, manakala pengusaha pertanian individu berusia 15 hingga 45 tahun hanya 224,147 orang (22.2 peratus).

Iklan
Iklan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, trend taburan umur dalam kalangan pengusaha pertanian individu berada dalam kumpulan umur tua itu memberi kesan langsung terhadap produktiviti dan keupayaan negara untuk meningkatkan pengeluaran domestik.

Data terbabit menunjukkan sektor pertanian Malaysia kini didominasi oleh golongan petani berusia lanjut, sekali gus fenomena tersebut menimbulkan persoalan besar tentang kesinambungan sektor pertanian negara.

Iklan

Realitinya, majoriti anak muda tidak melihat pertanian sebagai kerjaya pilihan, sebaliknya mereka lebih tertarik kepada sektor ekonomi moden seperti teknologi, perkhidmatan dan perniagaan digital yang menawarkan pulangan lebih lumayan serta gaya hidup lebih fleksibel.

Ketiadaan generasi muda dalam bidang ini bukan sahaja memperlahankan inovasi, malah menjejaskan produktiviti dan daya saing sektor pertanian negara.

Iklan

Antara punca utama golongan muda enggan menceburi bidang pertanian termasuk persepsi bahawa kerja tani adalah pekerjaan kotor, memenatkan dan kurang menguntungkan.

Jika trend tersebut berterusan, Malaysia bakal berdepan krisis tenaga kerja dalam sektor pertanian yang akhirnya menjejaskan keselamatan makanan negara.

Ketergantungan kepada import makanan akan terus meningkat, sekali gus mendedahkan negara kepada pelbagai risiko global.

Untuk mengatasi krisis ini, pendekatan menyeluruh diperlukan termasuklah aspek pendidikan dan latihan, insentif kewangan, teknologi pertanian serta kempen kesedaran.

Sudah tiba masanya pertanian dipromosikan sebagai satu kerjaya profesional yang berprestij, bukannya sekadar kerja kampung.

Justeru, usaha meremajakan sektor pertanian dengan menarik penyertaan generasi muda dalam sektor terbabit adalah langkah tepat bagi kelangsungan sektor pertanian negara.

Jika tidak, Malaysia bukan sahaja ketandusan petani muda, malah akan berdepan krisis makanan pada masa depan.